UniMAP bantu sekolah wujud studio layar hijau

- Advertisement -

ARAU: Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Gajah mewujudkan studio layar hijau bagi merancakkan kembali aktiviti sekolah di Malaysia terutamanya di musim pandemik Covid-19 sekarang.

Studio layar hijau bagi melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka dan aktiviti luar darjah melibatkan ramai khalayak.

Projek itu dirintis Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik (FTKE), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama Pma Rich(M) Sdn Bhd.

- Advertisement -

Pengerusi rancangan Diploma Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik UniMAP Ts Dr Mohamad Nur Khairul Hafizi Rohani berkata, suasana normal baharu sekarang menuntut pihak sekolah menggunakan layar hijau berkapasiti lebih besar.

Katanya, SK Kubang Gajah dipilih kerana sekolah itu menjadi tuan rumah penganjuran program Tokoh Nilam Negeri Perlis 2021.

“Sudut mini green screen sudah ada di sekolah berkenaan namun tuntutan menggunakan skrin lebih luas dan kerap sehingga mendorong supaya diwujudkan studio green screen.

“FTKE bersama syarikat pemilik jenama Mokti’s Ais Krim Gula Apong berbesar hati turut berkolaborasi dalam pembangunan projek tersebut.

“Dalam kolaborasi itu, kakitangan FTKE berganding bahu dengan guru membuat persiapan pembangunan studio dan pemilihan alat kelengkapan,” katanya di sini.

Menurutnya projek itu turut memberi peluang pemindahan ilmu teknik aplikasi integrasi teknologi perisian multimedia interaktif kepada guru-guru.

Kata beliau penglibatan syarikat yang menyumbang peruntukan kepada sekolah bagi pembangunan projek berkenaan menjadi contoh tauladan sosial yang positif.

“Antara aktiviti yang boleh dilakukan dengan kewujudan studio tersebut termasuk rakaman virtual, ulang tayang sesi pengajaran atau secara terus.

“Selain kolaborasi projek studio, kerjasama berterusan juga dirancang untuk berkongsi kepakaran dan memberi sokongan bagi aktiviti sekolah pada masa akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/4/2021

- Advertisement -