Slogan ‘parti aku paling kuat’ dianggap lapuk

Adam Abdullah
- Advertisement -

KANGAR: Lanskap politik yang dibentuk pasca Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14) memperlihatkan tiada lagi mana-mana parti mampu mendakwa mereka lebih kuat.

Politik baharu selepas kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang didominasi Umno setelah 60 tahun berkuasa, sekadar mampu diungkap hanya tinggal dalam catatan sejarah.

Biarpun segelintir pemimpin Umno masih mendakwa mereka kuat dengan 39 bilangan kerusi parlimen sekarang, sebaliknya dianggap anak muda sebagai seperti bermimpi di siang hari.

- Advertisement -

Seorang jurutera Adam Abdullah, 38, berharap pemimpin parti politik bersatu demi menjulang dan meletakkan agama dan bangsa kembali menyinari bumi Malaysia.

Kata beliau realiti semasa perlu ditelan walaupun pahit kerana tiada parti yang boleh berdiri sendiri selepas kejatuhan kerajaan BN.

“Hari ini rakyat mulai sedar dan pintar membuat pilihan. Jadi kehendak dan kepentingan parti politik masing-masing perlu diketepikan termasuk agenda peribadi.

“Pemimpin Melayu Islam terutamanya perlu mengambil pengajaran daripada sejarah kejatuhan kerajaan Melayu pada zaman lampau.

“Malangnya orang Melayu sukar belajar, sedangkan sejarah membuktikan kehancuran kerajaan Kesultanan Melayu dahulu kerana hasad dengki, batu api serta ketamakan pemerintah,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau juga tanpa segan silu mendakwa kejatuhan kerajaan BN kerana tidak menjadikan agenda meletak ajaran al-Quran dan Sunnah sebagai keutamaan ketika memiliki kuasa.

Beliau juga melihat masih ada pemimpin hanya bercakap mengenai kuasa dan kedudukan tanpa melihat kesan kehidupan rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Sebagai anak muda saya berharap pemimpin yang sudah lanjut usia memberi peluang kepada pemimpin lebih muda dan berkarisma untuk memimpin,” katanya.

Beliau turut menolak pegangan ‘parti aku paling kuat’ dianggap sudah lapuk ditelan zaman.

Nurliyana Samsudin

Seorang Juruteknik, Nurliyana Samsudin, 27, turut mengakui kewujudan parti politik yang membawa agenda peribadi menyukarkan penyatuan dalam kalangan orang Melayu-Islam.

Kata beliau selagi masih ada parti politik yang bercakap mengenai kedudukan dan kuasa tanpa menghiraukan agenda rakyat akan ditinggalkan arus perdana rakyat.

“Selagi wujud kepentingan politik mendahului agenda lain sukar untuk mana-mana parti bekerjasama dan koalisi yang dibentuk pun tidak mampu bertahan lama,” jelasnya.

Seorang kakitangan kerajaan Sharifah Aliaa Syazwani Syed Roslan, 28 berharap parti-parti Melayu Islam mengenepikan ego dan berada di bawah payung yang sama berteraskan penyatuan ummah.

Menurutnya keutamaan dengan menagih kuasa politik tanpa mengira suasana dan ketika tentunya sukar untuk dijalin kerjasama dengan mana-mana parti.

“Selama berpuluh tahun kefahaman politik kita dengan mengenepikan dasar pokok iaitu menjunjung kedudukan Islam itu sendiri,” katanya.

Besar harapannya untuk melihat penyatuan Melayu Islam diperkasakan kembali dengan mengenepikan ego lama.

Solusinya ramai anak muda menagih jalinan kerjasama di bawah Perikatan Nasional terus dipertahan bagi mengelakkan politik perkauman yang mekar seketika sebelum ini tidak muncul lagi.

Tonggak membina kestabilan politik di Malaysia perlu dilibatkan semua parti teras orang Melayu tanpa mengenepikan parti-parti yang diterajui kaum lain. – HARAKAHDAILY 7/4/2021

- Advertisement -