RM40 bilion Widad, Bin Zayed bangunkan Widad@Langkasuka

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Widad Business Group (WBG) menandatangani perjanjian kerjasama dengan Bin Zayed International (BZI) LLC untuk membangunkan secara bersama projek pembangunan bercampur yang dikenali sebagai Widad@Langkasuka di Langkawi bernilai RM40 bilion.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan WBG Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah berkata pembiayaan untuk Widad@Langkasuka adalah daripada WBG dan BZI atas persetujuan asas 50:50.

“Kerjasama strategik WBG-BZI menunjukkan keyakinan yang tinggi terhadap projek berimpak tinggi ini, yang akan meletakkan Langkawi di peta dunia dan mengubahnya menjadi pusat tarikan serantau dan di seluruh dunia.

- Advertisement -

“Kami kini sedang menunggu perintah pembangunan untuk diluluskan bagi memulakan fasa pertama daripada empat fasa projek tersebut. Projek ini dijangka siap dalam tempoh 15 tahun,” katanya kepada media selepas majlis pemeteraian perjanjian itu semalam.

Majlis pemeteraian itu diadakan di Grand Hyatt Kuala Lumpur dan disaksikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Noor. 

Sementara itu, BZI menyasarkan untuk membawa masuk RM100 bilion nilai pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia dalam tempoh beberapa tahun akan datang, dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan pembangunan Widad@Langkasuka.

Pengarah Urusan Kumpulan BZI Sheikh Midhat Kidwai dalam kenyataan berkata BZI telah menyatakan minatnya untuk melabur di Malaysia melalui kerjasama eksklusif dengan WBG, dalam surat rasmi kepada Muhyiddin. 

“Bermula dengan Widad@Langkasuka, kami yakin penglibatan kami dalam projek di sini dapat membawa masuk FDI lebih RM100 bilion untuk tempoh beberapa tahun akan datang. 

“Kemasukan aliran tunai yang kukuh ini dapat membantu menyediakan rangsangan pemulihan yang penting kepada ekonomi Malaysia selain mewujudkan lebih 30,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Widad@Langkasuka adalah pembangunan moden dengan konsep Islam dan vernakular tropika yang mempunyai potensi untuk mengubah landskap pulau Langkawi.

Pada masa ini, 90 peratus daripada tapak pembangunan seluas 800 hektar yang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi itu terdiri daripada laut dan WBG merancang untuk membina pulau buatan manusia yang akan meliputi kira-kira 50 peratus daripada keseluruhan projek. – BERNAMA

- Advertisement -