Pemimpin politik perlu fikir kepentingan rakyat, negara

- Advertisement -

KANGAR: Ahli politik perlu bertanggungjawab terhadap masalah negara serta kepentingan rakyat dan bukannya sibuk berpolitik memenuhi kepentingan peribadi dan parti semata-mata.

Pemerhati politik daripada Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Rusdi Omar berkata, jika semua perkara hendak dipolitikkan, ia akan mendatangkan masalah kepada ekonomi dan rakyat.

Katanya keputusan Umno menolak kerjasama dengan Bersatu merupakan pilihan mereka, namun dalam realiti sekarang sepatutnya pemimpin politik perlu memikirkan kepentingan rakyat dan negara terlebih dahulu.

“Antaranya kesengsaraan rakyat meneruskan kehidupan dalam keadaan pandemik Covid-19 yang belum reda,” katanya ketika dihubungi di sini.

- Advertisement -

Pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada Ahad lepas Umno menolak kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya ke-15 (PRU15).

Malah PAU tersebut juga sebulat suara memberi mandat kepada Majlis Tertinggi Umno untuk menentukan tempoh menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dr Rusdi berkata, keselamatan rakyat, isu kesihatan dan ekonomi sepatutnya menjadi pokok perbincangan utama dalam PAU yang berakhir 28 lepas.

“Itu sepatutnya isu paling utama yang dibincang dalam PAU 2020, di samping mereka membuat ketetapan untuk bersama atau tidak dengan Bersatu.

“Namun bagi saya realiti politik Malaysia sekarang tiada parti politik yang dominan untuk membentuk sebuah kerajaan tanpa kerjasama parti-parti lain,” ujarnya.

Namun kata beliau disebabkan segelintir pemimpin Melayu mementingkan diri berbanding negara dan rakyat, akhirnya menyebabkan kerajaan dilihat kembali tidak stabil.

“Sepatutnya keputusan PRU14 itu mengajar mereka bermuhasabah diri bukan sahaja kepada Umno tetapi juga parti-parti lain.

“Semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), negara berada dalam keadaan yang tidak stabil seterusnya memberi kesan kepada negara dan rakyat,” katanya.

Tegas beliau sepatutnya semua pemimpin politik perlu berjiwa besar bersama menerajui kepimpinan Malaysia ke arah kecemerlangan.

Menurutnya setelah membentuk kerajaan sepatutnya sama-sama memberi sokongan padu kepada kerajaan terutama dalam tempoh sekarang.

“Keadaan pandemik Covid-19 ekonomi yang tidak menentu ahli politik perlu mengenepikan hal peribadi dan parti, jangan hanya berpolitik sepanjang tahun,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/3/2021

- Advertisement -