KKM perjelas keperluan ambil dua dos vaksin

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan keperluan pengambilan dua dos bagi vaksin Comirnaty adalah untuk memastikan tahap keberkesanan vaksin berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tahap keberkesanan vaksin Comirnaty keluaran Pfrizer-BioNtech dilaporkan sebagai 94.6 peratus (N= 36,621) dalam mencegah jangkitan SARSCoV2 bergejala.

Katanya, berdasarkan kajian klinikal fasa 3 yang melibatkan suntikan dua dos dengan selang masa 21 hari (selang masa dibenarkan adalah sehingga 42 hari).

“Walau bagaimanapun, Strategic Advisory Group of Experts on Immunization (SAGE) daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan agar dos kedua diberikan selepas 12-28 hari daripada dos pertama,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Advertisement

Menurutnya, berdasar pemerhatian kajian klinikal, keberkesanan vaksin Comirnaty telah ditunjukkan bermula dari hari ke-12 selepas pemberian dos pertama dan pencapaian kira-kira 89 peratus keberkesanan di antara hari ke-14 dan 21, iaitu pada masa dos kedua akan diberikan.

Pada masa ini, Noor Hisham berkata keberkesanan jangka panjang untuk pemberian satu dos vaksin Comirnaty tidak diketahui.

“Ia kerana penerima vaksin dalam kajian klinikal tersebut menerima dua dos dengan selang masa antara 19 hingga 42 hari.

“Adalah penting untuk diberi perhatian bahawa peningkatan ketara antibodi yang berkebolehan memberi keberkesanan jangka panjang seseorang adalah selepas dos kedua,” ujarnya.

Katanya lagi, kelewatan mendapatkan dos kedua mungkin akan melambatkan penghasilan antibodi yang optimum.

Justeru, Noor Hisham berkata pihak KKM sentiasa menjalankan pemantauan secara berterusan terhadap vaksin yang digunakan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan pharmacovigilance bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin tersebut sentiasa terjamin. – HARAKAHDAILY 17/3/2021