Kenapa ada ahli PAS suka dengar fitnah dan sebarkan? (Siri 2)

- Advertisement -

PASTIKAN anda memahami syarat yang telah dinyatakan dalam siri 1 sebelum menyambung membaca tulisan ini.

Fitnah dimulai dalam berbagai bentuk. Kebiasaannya pada waktu itu, cerita sensasi berkenaan Kerajaan Negeri hanya datang dari tiga sumber. Pertama daripada pimpinan PAS sendiri. Kedua daripada kakitangan kerajaan dan terakhir daripada kontraktor. Sumber pertama dan utama itu tidak sedap untuk didengar kerana ia berkisar mengenai hal kebaikan kerajaan sahaja. Bila tidak diberitahu, mereka tanya. Bila dimaklumkan, buat-buat tak tahu. Tetapi sumber kedua dan ketiga (bukan semua yang tabur fitnah, ramai juga yang baik) adalah sensasi. Macam rancangan Melodi, penuh dengan gosip.

- Advertisement -

Tetapi mengapa orang PAS ada yang bersungguh-sungguh percaya kepada sumber-sumber luar, bukan daripada pimpinan itu? Begini. Pemfitnah ini akan mencuba dahulu menyebarkan berita betul kepada sasaran mereka bagi meraih kepercayaan. Contohnya, mereka memberikan dahulu lima cerita benar berserta bukti, yang mungkin kurang sensasi. Sekadar mahu mendapatkan kepercayaan. Lebih meyakinkan, mereka adalah orang yang dekat dan sentiasa berurusan dengan kerajaan, jadi mereka ada maklumat.

Kemudian, masuk kepada cerita ke-6 hingga 10, mereka mula memasukkan riwayat-riwayat Dhaif, Maudhu’ dalam cerita mereka sedikit demi sedikit. Oleh kerana sudah mendapat kepercayaan, maka cerita bercampur itu juga akan dianggap benar. Selepas itu, pada cerita ke-11 dan seterusnya, mereka akan mula memasukkan jarum-jarum mereka bagi mencapai maksud mereka iaitu memusnahkan kepercayaan ahli kepada pimpinan. Dan pada ketika itu, mereka sudah mendapat kepercayaan. Ingat formula ini, cerita bohong jika diulang-ulang akan dipercayai orang juga.

Manusia sememangnya begitu. Mereka lebih suka mendengar cerita yang hangat, berkenaan di sebalik tabir, sama ada betul atau tidak. Lihat sahaja, jika berita berkenaan isu-isu artis di belakang tabir, rumahtangga, dalam akhbar, pasti akan mendapat respon yang banyak. Suka benar mereka menyampuk, tidak kira betul atau salah. Atas sifat manusia sebegini, maka mereka berjaya menembusi benteng kepercayaan ahli. Atas sikap inilah mereka menggunakan ruang untuk memfitnah.

Ironinya, cerita sebegini, tidak pula pemfitnah sebarkan di kalangan pimpinan, mahu pun membawa bukti kepada mereka. Tetapi mereka memilih kalangan pertengahan atau bawahan dari kalangan ahli PAS. Kenapa? Kerana jika mereka membawanya kepada pimpinan, nanti amat sukar mereka tembusi kerana tabayyun pimpinan itu amat tinggi. Tetapi jika diperdengarkan kepada ahli bawahan, sebarannya cerita itu menjadi percuma, betul atau tidak, belakang kira, tibai-yun dahulu. Orang PAS pula yang tolong sebarkan. Tetapi selepas tahu salah, tak juga dia baiki.

Pernah sekali di Dewan Seri Budi di hadapan Sekolah Rendah Sultan Sulaiman 1, telah diadakan dialog bersama orang ramai. Bangun seorang perserta yang diketahui sebagai kakitangan awam dan menuduh salah seorang wakil rakyat tidak menjalankan tanggungjawab. Jawapan pimpinan cukup padu, pastikan cerita anda sahih atau bertanya dahulu kenapa wakil rakyat itu bertindak sedemikian. Maka diamlah pengadu itu disaksikan ramai orang. Mudahkan? Tiada bukti, jangan percaya. Itulah Islam ajar.

Sekitar tahun 2002, saya pernah duduk dalam satu kenduri yang kebetulannya ada beberapa kakitangan kerajaan juga di situ. Mereka bercakap kuat agar didengari orang mengenai bagaimana salah seorang Exco Terengganu yang dituduh mereka meminta gelaran Dato’ dengan menamakan dirinya sendiri. Apabila saya bertanya salah seorang pimpinan PAS dan mereka menafikannya. Tetapi bagaimana dengan orang lain yang mendengar tuduhan itu? Adakah mereka mempunyai sumber untuk memastikannya?

Banyak lagi kebocoran-kebocoran maklumat yang kemudiannya ditokok tambah. Ada juga ahli waktu itu yang memberikan cadangan yang amat bernas. Kenapa tidak dibuang semua kakitangan kerajaan dan diganti dengan yang baharu? Jelas, mereka ini tidak tahu akan susunan organisasi kerajaan. Proses yang memakan masa yang lama dan juga wang yang banyak. Lagipun, jika mereka bekerja dengan baik, kenapa mesti dibuang? Kerajaan datang dan pergi, tetapi kakitangan akan kekal. Pegawai kerajaan, bukan bahan buangan. Tetapi ahli politik, pasti akan dibuang jika parti mereka kalah.

Lalu mereka membandingkan pula dengan kakitangan Kerajaan Kelantan. Dalam isu ini, ramai yang terlepas pandang, sebenarnya PAS Kelantan telah memerintah selama hampir 50 tahun setelah ditolak 12 tahun bermula 1978-1990. Jadi mereka mempunyai kekuatan pentadbiran mereka sendiri berbanding Terengganu yang hanya mempunyai hanya lapan tahun pemerintahan terkumpul dengan hanya satu penggal yang penuh (1999-2004), satu penggal hanya separuh (1959-1961) dan satu penggal lagi iaitu sekarang, belum habis. Bagaimana mahu mengikis budaya Umno dalam pentadbiran?

Saya tidak mengatakan bahawa kakitangan kerajaan tidak profesional, tetapi Umno telah berkuasa dengan waktu yang lama. Ia akan memberikan kesan kepada corak pentadbiran. Proses bagi pengambilan kakitangan juga mempunyai prosedur yang rumit. Bukan sekadar temuduga lulus, dan diterima masuk kerja. 

Ia memerlukan kelulusan mengisi jawatan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di pusat. Apabila diluluskan permohonan itu, maka temuduga dilakukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN). Apa yang berlaku pada tahun 1999-2004 ialah Kerajaan Negeri tiada wang untuk jawatan baharu, kecuali untuk gantian kepada kakitangan yang bersara sahaja. Yang PAS boleh adakan hanyalah jawatan lantikan politik sahaja secara kontrak dan akan dihapuskan setelah PAS kalah.

Saya difahamkan, ada kelukaan dalam hati pegawai kerajaan ketika itu kerana Terengganu telah memperuntukan portfolio khas Pentadbiran Awam bagi meletakkan pegawai kerajaan di bawah seorang Exco. Maka mereka merasa kerajaan seolah-olah kerajaan tidak mempercayai mereka. Dan sebahagian mereka mula bertindak balas. Untuk rekod, Wisma Darul Iman dahulunya pernah dikenali sebagai ‘Wisma Seberang Takir’, iaitu merujuk kepada Dun seorang Exco yang dikatakan telah membawa ramai penduduk Seberang Takir yang layak bekerja di berbagai peringkat.

Jadi bayangkanlah, betapa berakarnya rasa terima kasih mereka kepada orang yang membantu mereka. Suatu ketika, Setiausaha Kerajaan pernah turun ke kantin pada waktu bekerja. Ini adalah kerana dimaklumi dahulu kakitangan kerajaan selalu menghabiskan masa di kantin. Tetapi yang beliau dapati apabila sampai di kantin hanyalah beberapa keping roti canai yang masih berasap bersama beberapa cawan air. Tuan makanan hilang entah ke mana. Inilah yang PAS mahu tangani.

Bersambung…

MOHD NASIR ABDULLAH
13 Mac 2021 – HARAKAHDAILY 13/3/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -