Kenapa ada ahli PAS suka dengar fitnah dan sebarkan?

- Advertisement -

SIRI 1:

Saya telah berjanji untuk menulis berkenaan tajuk ini beberapa bulan dahulu. Saya rasa ini adalah masa yang amat sesuai untuk diterbitkan tulisan ini. Tajuk ini agak sensitif. Ia berkenaan sikap sesetengah ahli PAS yang suka mendengar dan menyebarkan fitnah. Tetapi sebelum anda meneruskan bacaan anda, sayugia diingatkan tulisan ini adalah satu bentuk koreksi diri dan anda mesti bersetuju dengan satu syarat mudah iaitu:

‘Semua pimpinan atau wakil rakyat PAS adalah berkemungkinan besar tidak amanah, rasuah, mengambil peluang bagi kepentingan diri, sudah lari dari perjuangan, menipu, sombong dan segala perkara mazmumah bila sudah menang, sama ada kerana kalah kepada nafsu atau memang berniat jahat. Akan tetapi, tiada pengecualian hal yang sama juga amat-amat besar kemungkinannya terjadi kepada orang lain, sesiapa sahaja, termasuk anda.’
Jika anda bersetuju dengan syarat ini, maka anda boleh meneruskan membaca tulisan ini. Jika tidak, tulisan ini bukan untuk anda. Saya menyediakannya dalam bentuk bersiri dengan tajuk yang berbeza kerana ianya panjang dan tidak akan tercapai maksud dengan satu tulisan sahaja. Tulisan ini berdasarkan pengalaman sendiri, fakta sejarah dan juga perkongsian orang lain. Mari kita tumpukan kelemahan diri kita, bukan kekuatan musuh jika ada kebaikan dalam tulisan ini. 

- Advertisement -

Anda dialu-alukan untuk membetulkan fakta yang salah, jika ada, tetapi jika saya yakin dengan fakta saya, saya akan kekalkan dalam tulisan ini. Anda juga dibenarkan berkongsi tulisan ini dengan mengekalkan nama saya sebagai mengambil tanggungjawab saya yang menulis.

Kenapa PAS kalah di Terengganu pada 2004?

Kekalahan PAS di Terengganu pada 2004 ialah kerana penipuan. Itu sudah dimaklumi oleh semua penyokong PAS. Bukanlah kerana kelemahan yang teruk kerajaan ketika itu. Namun diakui memang ada kelemahan dalam beberapa perkara, tetapi ia bukan utama penyebab kekalahan. Hal ini juga telah diperjelaskan dengan panjang lebar dalam Muktamar pada tahun 2004 di PUTIK, Kelantan, dan semua bersetuju.

Maka jika ada dakwaan yang mengatakan kekalahan kerana kelemahan kerajaan, ia adalah satu sangkaan atau tuduhan yang agak tersasar. Buktinya, Kelantan yang lebih senior dalam pemerintahan juga hampir kalah waktu itu. Berkelebihan hanya tiga kerusi yang kemudiannya kerusi Pengkalan Pasir pula bertukar tangan, maka menjadilah Kelantan negeri yang PAS perintah dengan kelebihan satu DUN, iaitu di DUN Kemuning dan majoriti hanya dua undi.

Dalam siaran langsung keputusan PRU11, TV3 telah membawakan suasana kegembiraan penyokong Umno di Kelantan sebelum keputusan sebenar keluar kerana ada khabar yang dibawakan akan ada berlaku keputusan yang mengejutkan. Di Selangor telah berlaku kekecohan, sehingga memaksa SPR yang ketika itu diketuai oleh Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman, telah melanjutkan masa mengundi sehingga jam 7 petang.

Sebelum PRU, ketika proses culaan dilakukan, telah timbul banyak nama-nama yang meragukan dalam senarai daftar pemilih yang dikeluarkan. Proses bagi membuat bantahan pula agak rumit, dan belanja yang besar perlu dikeluarkan bagi proses itu. PAS tidak mampu membantah semua nama-nama yang mencurigakan, walaupun tahu ada sesuatu yang tidak kena. Dan PAS masih yakin dapat mengatasinya.

Dari kebimbangan ini, nampak seperti ada sesuatu yang pelik berlaku bila ramai yang keluar mengundi di Selangor pada lewat petang. Disampaikan kepada saya oleh seorang rakan yang telah dimaklumkan oleh abang iparnya, seorang anggota kerajaan yang terlibat dengan sistem pengundian, pada jam 3 petang, abang iparnya sudah memaklumkan kepadanya bahawa rasmi, Kerajaan PAS Terengganu sudah jatuh. Dan benar, ia terjadi.

Yang meratib-ratib kekalahan PAS Terengganu kerana kelemahan Presiden PAS hanyalah kumpulan 18 yang kemudiannya pada tahun 2015, telah keluar dari PAS. Waktu itu, begitu dahsyat tekanan bagi menurunkan Presiden supaya lebih senang perancangan untuk meliberalkan PAS. Saya agak terkejut jika masih ada lagi yang cuba meletakkan kesalahan 100 peratus kepada Presiden PAS, sedang dalam masa yang sama, Almarhum Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) yang memimpin Kelantan hampir kalah, tidak pula dikata sebegitu.

Ketika itu, kekecewaan penyokong PAS memuncak. Dalam pada PAS bermuktamar, seruan jihad PRK Kuala Berang pula datang. Dengan segala kelukaan, kita sekali lagi dikalahkan. Sememangnya PAS terduduk ketika itu. Di Perlis kita hilang dua kerusi Guar Sanji dan Beseri. Di Kedah juga mengalami kejatuhan teruk. Cuma yang agak membanggakan ialah anak sulung PAS lahir di Johor melalui DUN Senggarang.

Bersambung…

MOHD NASIR ABDULLAH
12 Mac 2021 – HARAKAHDAILY 12/3/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -