Salah DAP penganut Kristian dibenar guna kalimah Allah?

JIKA ada pihak yang perlu dipersalahkan oleh pihak-pihak lain tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan kalimah ‘Allah’ digunakan oleh penganut Kristian, maka orang itu mungkin adalah dua pemimpin DAP, iaitu Dr Abdul Aziz Bari dan Syahredzan Johan, dan Timbalan Pengerusi SPR yang juga pensyarah UM, iaitu Dr Azmi Sharom.

Ini kerana affidavit-affidavit mereka yang menyatakan penggunaan kalimah ‘Allah‘ oleh penganut Kristian tidak akan mengelirukan mereka sebagai penganut Islamlah yang digunakan oleh Hakim Datuk Nor Bee untuk menolak hujah kerajaan bahawa penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh penganut Kristian akan mengganggu ketenteraman awam.

Advertisement

Masa sama, saya tertanya-tanya mengapa tokoh seperti mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak diambil affidavitnya sedangkan beliau pada 5 Januari 2010 pernah menyebut:

‘Mungkin juga kalimah ‘Allah’ dapat menyamakan agama Kristian dengan agama Islam kerana menyembah Tuhan yang sama. Dengan ini penerimaan agama Kristian oleh orang Islam boleh jadi lebih mudah.’

Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, juga tidak diambil affidavitnya sedangkan beliau pada 24 Januari 2014 pernah menyebut:

‘Tuntutan gereja Kristian untuk menggunakan kalimah Allah dalam Bible berbahasa Melayu adalah bertujuan untuk meyakinkan orang Melayu bahawa agama Kristian adalah serupa dan serumpun dengan Islam. Tujuannnya juga adalah supaya orang Melayu yakin mereka masih beriman dengan Allah biarpun sudah mengikut cara hidup dan bersembahyang mengikut cara Kristian.’

Begitu juga dengan affidavit-affidavit penganut Islam dari golongan bawahan yang lebih berkemungkinan untuk terkeliru dengan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh penganut Kristian berbanding mereka yang berpendidikan tinggi.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 12/3/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.