Terima RM7 bilion pelaburan pembangunan sempadan

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Pengeluar sarung tangan nitril, Hartalega Holdings Bhd, akan melabur RM7 bilion untuk tempoh 20 tahun bagi membina Kompleks Pengilangan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC) di Zon Ekonomi Sempadan Khas Kota Perdana (SBEZ), Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Ketua Pegawai Eksekutif Hartalega Kuan Mun Leong berkata 16 fasiliti pembuatan akan dibina dalam dua fasa di atas tanah seluas 101.17 hektar di SBEZ, yang bakal mewujudkan 12,000 peluang pekerjaan.

“Setiap fasa akan melihat lapan fasiliti pembuatan dan sasaran Hartalega adalah fasa pertama siap pada 2024,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian jual beli antara Hartalega NSM Sdn Bhd dan Northern Gateway Free Zone Sdn Bhd, di sini hari ini.

- Advertisement -

Hartalega NSM adalah anak syarikat Hartalega Holdings, manakala Northern Gateway adalah entiti milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc). 

Majlis itu disaksikan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Kuan berkata pengembangan operasi penting bagi Hartalega untuk mempercepatkan kapasiti penghasilan dengan mengambil kira perspektif jangka panjang ke arah peningkatan struktur dalam permintaan global. 

“Strategi pertumbuhan Hartalega tetap tertumpu pada Malaysia memandangkan ekosistem dan rantaian bekalan yang komprehensif untuk sektor sarung tangan. 

“Tambahan lagi, pelaburan langsung domestik ini akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara serta memacu pembangunan ekonomi di wilayah utara,” katanya. 

Beliau berkata fasiliti Hartalega di Kedah setelah siap dijangka menyumbang hampir lima peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kedah. 

“Pelan pengembangan jangka panjang di Kedah akan menambah 80 bilion keping sarung tangan setiap tahun menjadikan kapasiti pembuatan Hartalega meningkat kepada 143 bilion keping setiap tahun,” katanya. 

Ditanya mengenai purata harga jualan (ASP) berikutan permintaan meningkat, Huan berkata ia masih berdasarkan dinamik pasaran. 

“Harga akan kekal tinggi berikutan permintaan masih kukuh. Ini positif bagi industri,” katanya ketika ditanya mengenai langkah Top Glove Corporation Bhd menaikkan ASP sebanyak tiga hingga lima peratus. 

Huan berkata Hartalega tidak melihat sebarang kebimbangan mengenai lebihan bekalan pada tahun ini berikutan penggunaan sarung tangan yang meningkat disebabkan COVID-19.

Beliau berkata walaupun kes COVID-19 mencatatkan penurunan di Malaysia namun kebanyakan negara masih memerangi pandemik tersebut.

Tengku Zafrul dalam pada itu berkata, SBEZ berpotensi untuk menarik pelaburan baharu akan memangkin momentum dalam usaha kerajaan memulihkan semula ekonomi pasca pandemik COVID-19 khususnya di wilayah utara.

Beliau yakin, kelebihan dimiliki bandar sempadan Bukit Kayu Hitam di Kedah itu adalah ia merupakan laluan utama perdagangan rentas sempadan di wilayah utara.

“Laluan utama perdagangan rentas sempadan di utara dengan anggaran nilai kira-kira RM40 bilion setahun harus dimanfaatkan semaksimum mungkin,” ujarnya.

Tengku Zafrul berkata, pembangunan komponen hartanah di SBEZ Kota Perdana merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Kewangan untuk menjenamakan semula konsep pembangunan di bandar sempadan Bukit Kayu Hitam. 

“Kerja pembangunan infrastruktur utama dan pembinaan depoh lori dan pelepasan dalaman di hab logistik darat SBEZ Kota Perdana akan dimulakan tidak lama lagi dan dijangka siap pertengahan 2022,” katanya. 

Beliau berkata, Northern Gateway dengan kerjasama kerajaan negeri Kedah harus memberi tumpuan khusus untuk meneroka peluang pelaburan baharu terutama dalam sektor ekonomi sekunder berimpak tinggi dibangunkan di SBEZ Kota Perdana untuk tingkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Dalam konteks ini, sumber bahan mentah dan komoditi dari negara jiran yang kini dieksport terus ke negara pengimport utama seperti China, Korea Selatan dan Jepun melalui Pelabuhan Pulau Pinang yang boleh diproses dan dijadikan sebagai produk nilai tambah tinggi bagi pasaran eksport mengguna pakai teknologi berdaya maju,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, SBEZ Kota Perdana berada di landasan yang betul untuk mengeksplotasi kelebihan sedia ada yang dimiliki Malaysia dan Thailand seperti sumber bahan mentah serta kemudahan infrastruktur.

Menurutnya, faktor kelebihan lain ialah geo-strategik memandangkan SBEZ Kota Perdana terletak di laluan Rangkaian Lebuh Raya Asia 2 (AHN 2) menghubungkan Singapura dan Thailand serta laluan saluran paip gas Trans Thai-Malaysia.

Justeru ia berpotensi untuk dibangunkan sebagai hab penting dalam rantaian bekalan global bagi industri pembuatan khususnya peranti perubatan dan peralatan penjagaan kesihatan, produk makanan serta komponen automotif, elektronik dan elektrik, katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata bagi menarik pelaburan ke SBEZ, kerajaan negeri Kedah akan membina loji rawatan air di Kodiang untuk memastikan keperluan air mencukupi ke kawasan zon ekonomi tersebut. – BERNAMA

- Advertisement -