Pemuda PN Perlis perkukuh penyatuan ummah

- Advertisement -

KANGAR: Perikatan Nasional (PN) Perlis berusaha memperkukuhkan hubungan dengan Umno serta parti-parti Melayu yang lain di negeri itu.

Ketua Pemuda PN Perlis, Ustaz Muhammad Azmir Azizan berkata, pihaknya berusaha mempertahankan penyatuan ummah sebagai agenda utama PN Perlis.

“Kita akan berusaha sedaya upaya untuk meneruskan agenda penyatuan ummah di antara parti-parti dan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam di negeri ini.

“PAS sangat optimis dalam mempertahankan PN dan dalam masa yang sama memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) bersama Umno,” katanya di sini.

- Advertisement -

Baru-baru ini, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis Dato’ Seri Shahidan Kassim dilapor memberitahu pihaknya sentiasa membuka ruang kerjasama dengan mana-mana parti dan menolak sebarang usaha ke arah perpecahan parti-parti Melayu Islam.

Malah Umno Perlis mempertahan pendirian memperkasakan hubungan dengan PAS dalam MN dan memantapkan kerjasama dengan Bersatu menerusi PN.

Muhammad Azmir yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis disah pelantikan sebagai Ketua Pemuda PN ketika perjumpaan bersama Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Menurutnya juga pelantikan itu memberi peluang bagi mengetengahkan konsep Islam sebagai cara hidup terutamanya dalam kalangan anak-anak muda.

Katanya lagi, dakwah kepada anak muda bukan Muslim juga perlu diteruskan supaya mereka memahami Islam dan dapat membuang persepsi negatif terhadap Islam.

“Bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 perhatian perlu diberi kepada anak-anak muda yang tidak berparti kerana peratus mereka lebih tinggi berbanding pemuda menyertai sesuatu parti.

“Kebanyakan anak muda sekarang muak dengan keadaan politik semasa sehingga menyebabkan mereka tidak berminat mendaftar sebagai pemilih.

“Jika kita hanya mengharapkan undi teras anak muda sudah pasti kita akan ketinggalan bagi mendapat mandat rakyat pada PRU15,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/3/2021

- Advertisement -