Kes Selangor cabaran baru umat Islam di Malaysia

- Advertisement -

ARAU: Keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytihar Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) sebagai tidak sah kerana bercanggah Perlembagaan Persekutuan dianggap menjadi cabaran baharu umat Islam.

Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin berkata, keputusan itu menjadi cabaran kepada PAS untuk menyemarakkan lagi usaha mengangkat semula undang-undang syariah yang diperjuangkan parti itu sejak sekian lama.

“Berdasar apa yang berlaku itu kita anggap ia menjadi cabaran bagaimana kita hendak mendidik masyarakat daripada terjerumus dengan perkara yang menyeleweng daripada Islam.

“Inilah masa yang sesuai untuk kita menyahut cabaran memartabatkan perundangan syariah,” katanya ketika merasmikan majlis pecah tanah bangunan baharu Sekolah Rendah Islam Al Furqan (SRIAF) kelmarin.

- Advertisement -

Turut hadir Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Perlis, Baharudin Ahmad dan Ketua Pemuda PAS Negeri, Ustaz Muhammad Azmir Azizan.

Mahkamah Persekutuan pada 25 Februari lepas membenarkan usul dikemuka seorang lelaki yang didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor atas tuduhan cuba melakukan seks luar tabii.

Panel sembilan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan seks luar tabii sebagai jenayah di bawah Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan dan tidak sah.

Keputusan itu secara tidak langsung mengetepikan undang-undang Syariah negeri Selangor yang menetapkan seks di luar tabii sebagai jenayah.

Hakim menyifatkan Seksyen 28 yang digubal badan perundangan Selangor hanya boleh digubal melalui Parlimen. – HARAKAHDAILY 1/3/2021

- Advertisement -