‘Tidak timbul soalan ketidakhadiran di mahkamah’

- Advertisement -

KOTA BHARU: Mereka yang tidak hadir ke mahkamah untuk prosiding, tidak bermakna mereka kebal undang-undang, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Dalam kes mahkamah melibatkan usahawan kosmetik Nur Sajat, atau nama sebenar Muhammad Sajjad Kamaruzzaman yang tidak hadir ke mahkamah bagi satu prosiding, beliau berkata mereka yang melakukan apa-apa kesalahan tidak boleh terlepas daripada undang-undang, termasuk Nur Sajat.

Beliau berkata proses mahkamah perlulah berhemah, teliti di samping mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP), malah ia mempunyai panduan tertentu yang perlu diikuti, dan sesiapa sahaja, bukan hanya Nur Sajat, perlu mengikut lunas mengikut undang-undang dalam negara yang ditegakkan dengan prinsip Rule of Law.

- Advertisement -

“Tidak timbul soalan ketidakhadiran di mahkamah… barangkali ada alasan yang boleh diterima mahkamah. Sekiranya mahkamah perlu tindakan lain, itu terpulang kepada mahkamah, cuma kes ini sedang berjalan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Musaadah Bencana kepada mangsa kebakaran rumah, Mohd Yazid Mohd Nor, 30, orang kurang upaya (OKU) yang buta kedua-dua belah mata di Pengakalan Nangka, Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Bulan lepas Nur Sajat tidak mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan menyebabkan agama Islam dipandang hina dengan cara dirinya seorang lelaki yang berpakaian menyerupai wanita selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Syarie Mohamad Khalid Shaee @ Shaii, dan beliau tidak hadir semasa sebutan semula kes itu beberapa hari lepas.

Sementara itu merujuk kepada pembinaan rumah berkenaan, Ahmad Marzuk berkata kerajaan pusat memperuntukkan RM50,000 bagi pembinaan rumah tiga bilik itu di bawah Tabung Musaadah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Ini adalah rumah pertama yang dibina menerusi tabung ini selain akan ada bantuan lain selepas ini,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -