Masih terlalu awal anggap vaksinasi ‘pasport imuniti’

Foto daripada Facebook Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR: Masih terlalu awal untuk menganggap bahawa vaksinasi Covid-19 akan dijadikan sebagai asas untuk memperoleh ‘pasport imuniti’ supaya seseorang dapat bergerak dengan bebas, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kerajaan masih perlu mengkaji dengan teliti hasil keberkesanan dan keselamatan vaksin berkenaan sebelum membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu.

“Vaksinasi membawa sinar harapan kepada kita semua, namun ia masih terlalu awal bagi kerajaan untuk membuat keputusan mengenai sama ada vaksinasi itu akan menjadi ‘pasport imuniti’ dan membolehkan kita mengembara ke sekeliling dunia, misalnya.

“Marilah kita mendapatkan suntikan vaksinasi dan kemudian lakukan penilaian dari semasa ke semasa,” katanya dalam ucaptamanya yang disiarkan menerusi webinar Forward Malaysia: Charting New Paths to the Next Normal, anjuran Newcastle University Medicine Malaysia di sini hari ini.

Advertisement

Dr Noor Hisham berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai ‘pasport imuniti’ yang dikemukakan oleh Pakar Perunding Perubatan Akut dan Presiden Persatuan Pakar Perubatan Dalaman Maju dan Akut serta Ultrasound Malaysia Datuk Seri Dr Paras Doshi yang juga salah seorang penceramah webinar itu.

Dr Noor Hisham berkata, buat permulaan, kerajaan mungkin akan melonggarkan sekatan Covid-19 misalnya, dalam aspek kuarantin sekiranya program vaksinasi berjalan dengan baik.

Namun, pada waktu yang sama, katanya kerajaan perlu memastikan sama ada diperlukan suatu pemangkin atau sama ada tindak balas imuniti tubuh akan berkesan dan berpanjangan setelah satu atau dua tahun selepas menerima suntikan vaksin.

“Kita perlu melihat data … sekurang-kurangnya lapan bulan atau setahun dan mungkin maksimum sehingga dua tahun untuk melihat keberkesanan dan keselamatan vaksin.

“Saya rasa ada banyak persoalan yang belum terjawab ketika ini …tetapi kita berharap yang terbaik dan anda masih perlu mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) walaupun anda telah menerima suntikan vaksin,” tambah beliau.

Dr Noor Hisham berkata sekiranya perlindungan dalaman (vaksin) dan luaran (mematuhi SOP) berjalan seiring, Kementerian Kesihatan mungkin akan mempertimbangkan semula mengenai ‘pasport imuniti’ ini dengan berbincang dengan rakan sejawatnya dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Mengenai sama ada kita dapat kembali kepada kehidupan normal sebelum pandemik Covid-19 itu, ia adalah sesuatu yang kita harapkan menjadi kenyataan namun kita juga harus melihat kepada keberhasilan program vaksinasi sama ada ia berupaya memberi kita ‘pasport imuniti’.

“Kita memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu… ketika ini diakui kita hidup dalam situasi yang amat sukar dan mencabar,” katanya.

Namun, katanya perkara yang lebih penting ialah rakyat perlu bersabar dan dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu sehingga keadaan pulih dan kehidupan kembali menjadi normal. – BERNAMA