Batalkan pembukaan operasi judi! – Pemuda PAS

pas
- Advertisement -

SEPERTIMANA dalam pemakluman seluruh rakyat Malaysia, dalam musim pandemik yang sedang dikawal selia oleh pihak kerajaan, Pemuda PAS maklum berkenaan pembukaan kebanyakkan sektor ekonomi bagi mengimbangi aktiviti yang menyumbang kepada pendapatan negara dan rakyat dengan pengawalan SOP yang ketat.

Namun, Pemuda PAS juga maklum berkenaan pembukaan operasi perjudian berlesen berkuatkuasa 15 Februari 2021. Mewakili pandangan Pemuda PAS, kami sangat mengharapkan agar kerajaan dapat membuat pertimbangan semula berhubung kebenaran beroperasi kepada semua operator perjudian. Sekalipun menurut semakan Pemuda PAS, hasil keseluruhan cukai judi yang dikutip oleh kerajaan agak lumayan di mana pada tahun 2019 (sehingga September), kerajaan mengutip cukai sebanyak RM2.72 bilion manakala tahun 2018 sebanyak RM2.018 bilion daripada aktiviti perjudian (sumber: jawapan kerajaan di kamar khas Parlimen pada 8 Oktober 2019), namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan semula aktiviti ini dilaksanakan. Apatah lagi jika dibincangkan dari sudut keperluan dan keutamaan, aktiviti perjudian bukannya satu ‘essential services’ yang perlu disegerakan perkhidmatannya.

- Advertisement -

Dalam situasi rakyat sedang tertekan akibat wabak pandemik COVID-19 ini, membenarkan aktiviti perjudian hanya akan menambah parah ke atas luka rakyat. Ia dibimbangi hanya akan mencetuskan masalah sosial yang lain dan tidak berbaloi dengan cukai yang berjaya dikutip oleh kerajaan nanti. Sudah tentu jika dilihat di dalam Islam sekalipun, ia merupakan dosa besar yang dibenci bahkan dalam semua agama-agama utama di dunia juga, judi dianggap perbuatan yang tidak bermoral. 

Mewakili Pemuda PAS, kami telah menghantar nota ini juga kepada YB Menteri Kewangan untuk membuat penilaian semula. Pemuda PAS yakin, adanya ruang untuk kerajaan mempertimbangkan semula perkara ini.

YB AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas
Timbalan Ketua Pemuda 
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 18/2/2021

- Advertisement -