Apa Ketua Ultra Kiasu merepek ini?

kiasu
- Advertisement -

BETUL ke ultra kiasu ini pertamanya, Malaysia, kedua Cina? Cuba ultra kiasu ini imbau kembali kata-kata yang dihamburkan ketika Peristiwa 13 Mei 1969. Janganlah hanya tanam tebu di tepi bibir. Sekadar di mulut, semua orang boleh bercakap. Di hati bagaimana? Tuhan sahaja yang Maha Tahu. 

Ternyata apa yang kamu kata hari ini berbeza sama sekali dengan kata-kata kesat kamu ketika 13 Mei 1969. Lebih baik berterus terang daripada berpura-pura. Hari ini, ketua ultra kiasu mencabar Perdana Menteri (PM) supaya mengisytiharkan dirinya, pertama Malaysia, kedua, Melayu. Sebab katanya, dia sudah isytiharkan bahawa dirinya 10 tahun lalu, pertama Malaysia, kedua, Cina. 

- Advertisement -

Ketawa terbahak-bahak sama membaca kenyataan ultra kiasu tua ini. Kenapa isytihar 10 tahun lalu? Kenapa tidak isytihar ketika negara mencapai kemerdekaan, atau sejak kamu berhijrah ke sini. Atau paling kurang isytihar selepas peristiwa 13 Mei 1969? Kenapa nak bangkitkan isytihar 10 tahun lalu, tahun 2010? Kenapa bukan 60 tahun lalu?

Jangan nak berlakonlah. Saya amat yakin bahawa walaupun PM pernah berkata sedemikian, saya pertamanya Melayu, keduanya Malaysia. Dalam hati adalah sebaliknya. Sebab, beliau ada Perdana Menteri. Apabila berucap, sentiasa sebut Melayu (Bumiputera), India, Cina. Boleh dikatakan semua Menteri Melayu dan Bumiputera apabila berucap, tidak pernah tinggal kalimat Melayu (Bumi) India Cina.

Berbanding dengan kamu dan kuncu-kuncu kamu, sentuh sahaja sekolah Cina, melompat terus. Sebut sahaja SOP Tahun Baharu Cina, kiamat satu Malaysia. Bising. Apabila mengkaji peristiwa 13 Mei, saya cukup ragu dengan kata-kata kamu, Malaysia pertama, kedua Cina. Ultra kiasu ini cuba mengimbau kembali kata-kata PM (ketika itu Timbalan PM) di Parlimen, pada 18 Mac 2010.

Ketika perbahasan Titah Diraja, apabila slogan 1Malaysia sedang popular, PM (Timbalan PM ketika itu), sama ada beliau bersedia untuk isytiharkan yang pertamanya beliau adalah rakyat Malaysia dan keduanya orang Melayu.

Sebab ultra kiasu ini telah isytiharkan di dalam Parlimen yang beliau pertamanya adalah rakyat Malaysia dan keduanya orang Cina. Ultra kiasu ini turut mencabar setiap Menteri Kabinet untuk membuat pengisytiharan yang serupa untuk menunjukkan yang mereka benar-benar mendalami konsep 1Malaysia.

Dakwa ultra kiasu ini, tidak ada seorang pun Menteri Kabinet yang berani menerima cabaran ini. Di sebaliknya, Timbalan PM ketika itu, mengumumkan yang beliau Melayu yang pertama, kedua Malaysia.

Apabila PM berucap semalam, ketika melancarkan Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan, PM memberikan amaran kepada rakyat Malaysia untuk berhati-hati dengan ahli-ahli politik yang memainkan sentimen perkauman demi kepentingan politik peribadi, dengan mendakwa perkara ini menjadi cabaran dalam negara dengan penduduk yang berbilang kaum.

Tidak puas hati dengan ucapan PM itu, ultra kiasu ini mendakwa lagi, selepas 64 tahun negara kita ditubuhkan, adakah PM bersedia untuk memimpin rakyat Malaysia di seluruh negara dalam Rangka Tindakan Perpaduan Kebangsaan ini dengan mengisytiharkan yang beliau pertamanya adalah rakyat Malaysia, supaya semua rakyat Malaysia dapat mengatakan yang mereka juga pertamanya rakyat Malaysia dan kemudiannya Melayu, Cina, India, Kadazan, ataupun Iban? 

Tidak ada sesiapa pun yang akan kehilangan ciri-ciri unik etnik, kebudayaan, atau keagamaan mereka, baik dari kalangan orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, ataupun Muslim, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, Tao, tetapi semua rakyat Malaysia perlu pertamanya melihat diri mereka sebagai rakyat Malaysia.

Hebatkan lakonan ultra kiasu ini. Cakap lain, buat lain. Tanam tebu di tepi bibir. Cuba imbau balik kata-kata beliau ketika peristiwa 13 Mei 1969? Begitu juga kelantangan mempertahankan sekolah Cina dan Bahasa Cina.

Dakwa ultra kiasu ini lagi, terdapat masalah yang lebih besar dengan Dasar dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara yang dilancarkan oleh PM semalam. Pertama kalinya dalam sejarah negara, sejak daripada perangkaan Rukun Negara sebagai prinsip pembinaan negara bangsa pada tahun 1970, negara ini tidak mempunyai sebuah Kabinet di mana semua Menteri-menteri Kabinet komited terhadap kelima-lima prinsip ini. Apa buktinya? Apa bukti Menteri-menteri Kabinet tidak berpegang kepada 5 prinsip Rukun Negara? dapatan mana kamu peroleh? Menteri Melayu (Bumi) yang dirujuk atau bukan Bumi?

Jika PM dan Menteri Melayu bercakap, Melayu pertama, kedua Malaysia, tidak salah pun. Pertamanya, Melayu sebab asal-usul negara ini memang Melayu, namapun Tanah Melayu. Bermakna, bila dia bercakap Melayu yang pertama, itu tidak langsung salah kerana mempertahankan Tanah Melayu. Tetapi bila ultra kiasu bercakap, pertamanya Malaysia, itu saya ragu. Katakan, nama ini masih lagi Tanah Melayu, adakah kamu akan perkatakan perkara ini.

Jangan hipokrit ultra kiasu. Jangan rosakkan suasana Tahun Baharu Cina. Sedar atau tidak, bila pemimpin Melayu berucap atau sediakan blue print, dalam kepala mereka hanya ada, Melayu, Cina, India, unity in diversity. Berbeza pula dengan ultra kiasu, bukan main menjaja unity in diversity, tetapi bila tiba bab bangsa, kamulah yang paling rasis, mempertahankannya.

Kerana pemimpin Melayu berpegang kepada Rukun Negara, Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara dan lain-lain, kamu dapat hidup aman damai dan membina kekayaan di sini. Tidak ada bangsa di dunia ini yang paling bertoleransi selain daripada Melayu. Sanggup biarkan kamu hidup dan bangsa lain hidup seperti negara asal, tanpa diubah sedikitpun berbanding dengan negara lain yang memaksa melakukan asimilasi.

Bila Tahun Baharu Cina, pemimpin Melayu sibuk memakai baju Cina ucapkan Selamat Tahun Baharu Cina. Terhegeh-hegeh, Melayu menjadi lebih Cina daripada Cina. Itulah Melayu. Agak-agaknya ketika Hari Raya Puasa, sanggupkah kamu ultra kiasu, berpakaian baju Melayu, bersamping dan mengucapkan Selamat Hari Raya. Saya belum pernah melihat ketua ultra kiasu tua ini melakukannya. 

Yang saya selalu lihat, ketua ultra kiasu tidak lekang dengan jaket Baratnya. Di negara Melayu, kamu tolak cara hidup Melayu. Siapa nak percaya kamu berkata pertamanya adalah rakyat Malaysia.

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH – HARAKAHDAILY 16/2/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -