Sugar Baby: Negara kafir lebih bagus dari negara kita?

DI PARIS, ibu kota sebuah negara kafir, Perancis, seorang lelaki yang mempromosikan satu laman web yang mempromosikan kerja sebagai Sugar Baby kepada para pelajar universiti di sana ditahan oleh polis dan didakwa kerana mempromosikan pelacuran.

Di Brussels, ibu kota sebuah lagi negara kafir, Belgium, seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara selama 6 bulan dan denda sebanyak €24,000 dan syarikat RichMeetBeautiful.com miliknya dijatuhkan hukuman denda sebanyak €240,000 oleh mahkamah di atas kesalahan mempromosikan pelacuran bila mempromosikan kerja sebagai Sugar Baby kepada para pelajar universiti di sana manakala laman webnya disekat daripada beroperasi di Belgium.

Advertisement

Di Kuala Lumpur, ibu kota sebuah negara Islam, Malaysia, seorang lelaki bernama Darren Chan secara terbuka mempromosikan kerja sebagai Sugar Baby kepada para pelajar universiti melalui platform Sugarbook dengan menyediakan pelbagai insentif kepada mereka sejak tahun 2018 tanpa sebarang kebimbangan akan diambil tindakan oleh pihak berkuasa malah dengan bangganya mengeluarkan ranking 10 universiti penyedia Sugar Baby teramai di negara ini. 

Ini berlaku tatkala orang ramai faham bahawa khidmat Sugar Baby adalah aktiviti pelacuran, malah Timbalan Presiden Pertubuhan Kesihatan Mental Malaysia, Datuk Dr Andrew Mohanraj, yang menangani masalah kesihatan mental yang dialami oleh Sugar Baby menyatakan secara definitif bahawa fenomena ini adalah ‘nothing but prostitution and pimping in a more polished form – it is a simple money-for-sex or companionship arrangement’.

Ini juga berlaku tatkala Sugarbook terang-terang mengakui bahawa Sugar Baby adalah wanita muda yang menukarkan penemanan, persahabatan dan seks untuk wang, hadiah dan pemanjaan daripada lelaki tua kaya selain menasihatkan Sugar Baby-nya supaya hanya bersetuju untuk melakukan aktiviti seks setelah ganjaran ke atasnya dibincangkan. hanya untuk bercakap mengenai seks dengan Sugar Daddy mereka setelah ganjaran ke atasnya dibincangkan. Kejadahan apakah ini, dan sudah hampir mahu kiamatkah dunia ini agaknya?

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 14/2/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.