SIS diam ‘Sugarbook’, tapi kelirukan amalan ‘khitan’

Penyelesaian holistik berteraskan Islam mesti diambil demi selamatkan maruah dan masa depan keturunan manusia

- Advertisement -

TEMERLOH: Sister In Islam (SIS) adalah kumpulan toksik yang mengelirukan masyarakat dari ajaran Islam sebenar, tetapi sebaliknya lunak dan berdiam diri terhadap perkara merosakkan umat.

Ketua Muslimat PAS Negeri Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Nor berkata, terbaru SIS membawa banyak salah faham dan keraguan terhadap khitan, tetapi membisu terhadap masalah Sugarbook.

- Advertisement -

Bidas beliau, SIS ternyata dangkal memahami dan semberono mempertikaikan amalan khitan apabila menyamakan dengan memotong kemaluan perempuan (female genital mutilation – FGM).

Malah jelas beliau, amalan khatan perempuan juga langsung tidak sama dengan al-isti’sal iaitu pengembirian atau amalan seumpama yang dilarang syarak malah bersifat tindakan pencacatan atas wanita. 

“Kenapa SIS tidak bersuara atas nama Hak Asasi Manusia diperjuangnya terhadap FGM yang pernah dan mungkin masih berlaku ke atas wanita di negara Barat dan Timur atau negara majoriti bukan-Islam. 

“Perbuatan itu bukan sahaja mencacatkan perempuan, bahkan memandulkan wanita. Ini penganiayaan dan penindasan. Berbeza dengan khitan yang wajib dalam Mazhab Syafie dan Hambali, tetapi digalakkan dalam Hanafi dan Maliki.

“Malang juga, pemerdagangan ‘elit’ ke atas wanita menerusi Sugarbook dan pelbagai aplikasi lain tidak diberi perhatian untuk diperjuangkan oleh SIS,” ujarnya yang juga Naib Ketua Muslimat PAS Malaysia.

Gesa Salamiah, kerajaan mesti bertegas menyekat aplikasi tersebut sebagai tindakan berdasarkan sadd adz-dzaraie; kaedah fiqh Islam yakni menutup sesuatu yang membawa kepada larangan atau kemudaratan.

Terangnya, langkah besar tidak popular ini penting kerana membabitkan maruah sebagaimana tindakan seumpama telah kerajaan ambil dalam menangani pandemik COVID-19 demi menyelamatkan nyawa.

Jelas beliau, Islam menggariskan nyawa dan maruah dalam Maqasid Syariah yakni tujuan atau keutamaan yang perlu diberi jaminan di mana ia semua pihak bertanggungjawab lebih-lebih lagi kerajaan.

Alhamdulillah, Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memahami usaha mengekang COVID-19 adalah memenuhi Maqasid Syariah iaitu untuk menyelamatkan nyawa.

“Atas kepentingan maruah dan keturunan manusia yang juga merupakan sebahagian Maqasid Syariah, maka pembawa atau pintu terbuka kepada maksiat dan mungkar (fath adz-dzaraie) wajib ditutup.

“Ketika sama, ini juga muhasabah buat semua pihak. Baik kerajaan, pemimpin, ibu bapa, guru dan anak-anak generasi kini. Kerosakan yang berlaku ini menuntut penyelesaian holistik,” gesanya.

Kata beliau, pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) lazimnya tiada dalam pengawasan ibu bapa disebabkan berada jauh serta dalam tempoh masa agak lama, di mana mereka bebas dan perlu menjaga diri sendiri.

Maka tegas Salamiah, penjagaan atau benteng diri terbaik adalah iman; yang tentu sekali hanya boleh didapati dengan didikan agama, sekali gus IPT mesti disuburkan dengan pengajian agama ke atas mahasiswa.

Ketika sama kemukanya, kegiatan sosial atau aktiviti luar kuliah universiti juga perlu diolah semula dengan mendapatkan kepakaran para mufti dan agamawan untuk memodulkannya ke atas mahasiswa.

Cadangnya, dengan kecanggihan teknologi digital kini juga boleh dibangunkan aplikasi yang menunjukkan pergerakan dan perhubungan anak-anak untuk dipantau oleh ibu bapa dan pihak universiti.

“Kerana pada peringkat umur sedemikian memang ada ‘ledakan budaya’ kehidupan atas perubahan semulajadi diri, tetapi ia mesti dipandu kepada fitrah yang murni. Anak-anak ini masih tetap perlukan perhatian.

“Kita tidak dapat menolak teknologi, tetapi teknologi yang datang biarlah memberdayakan kehidupan harian kita, bukan merosakkan. Jadi bersama penolakan ke atas aplikasi itu, tindakan penyelesaian juga mestilah holistik,” nasihatnya.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada media atas usaha membongkar kegiatan Sugar Daddy dan Sugar Baby di IPT yang bermula atau menjalankan urusan menerusi web dan aplikasi Sugarbook. – HARAKAHDAILY 14/2/2021

- Advertisement -