Akuakultur mampu jana RM9.08b menjelang 2030

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menjangkakan sektor akuakultur mampu menjana keuntungan sehingga RM9.08 bilion menjelang tahun 2030.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, kerajaan kini sedang merangka pelbagai strategik bagi merealisasikan hasrat itu.

Menurutnya, hasrat pengeluaran tersebut merupakan fokus utama Jabatan Perikanan Malaysia yang menjadi sebagai penanda aras terhadap keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan berkesan.

- Advertisement -

“Sasaran bagi 2030 dijangka pengeluaran sebanyak 958,000 tan metrik dengan nilai RM9.08 bilion dan bagi memastikan hasrat ini tercapai kerjasama negeri sangat diperlukan.

“Negeri perlu menggembleng tenaga serta menggunakan semua sumber yang ada untuk melaksanakan tugas dan fungsi jabatan bagi mencapai pengeluaran akuakultur yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke kolam ternakan ikan air tawar di Kampung Jejulok, Banggu di sini pagi tadi.

Ahli Parlimen Tumpat itu turut meluangkan masa kira-kira satu jam bertemu dan berbincang dengan penternak, Mohd Lokman Mohamad yang mempunyai tiga kolam ikan patin dan dua tilapia merah.

Penternakan yang diusahakan sejak enam tahun lalu itu, mendapat bantuan daripada Jabatan Perikanan serta memasarkan hasil melalui pemborong bagi pasaran tempatan dan luar Kelantan.

Che Abdullah turut mengalu-alukan penglibatan agensi swasta melalui pendekatan ‘pro-business enviroment’ dibawah Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA).

Jelas beliau, di bawah NKEA, tiga projek permulaan (EPP) dilaksanakan bagi projek rumpai laut, projek integrasi sangkar ikan dan projek integrasi kolam melibatkan penternakan udang marin.

“Di samping itu, kita juga merangka beberapa strategi dan pendekatan untuk dilaksanakan kepada pengusaha akuakultur seperti meningkatkan produktiviti sistem ternakan akuakultur sediada.

“Selain itu kita juga mengalakkan rakyat untuk terlibat dengan pembangunan projek akuakultur baru dalam skala kecil dan sederhana secara berkelompok seluruh negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/2/2021

- Advertisement -