Ziarah empat kematian sebelum ke Platinum Mall

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Shaharizukirnain Abdul Kadir menziarahi empat kematian dalam Kawasan parlimen itu sebelum mengadakan lawatan ke Platinum Mall, Kota Bharu.

Pada sebelah pagi, beliau meluangkan masa menziarahi Allahyarhamah Zaitun Mat Nor di Kampung Telaga Papan, Allahyarham Muji Samad di Kampung Padang Jejawi, Allahyarham Che Jusoh di Kampung Guntong Dalam dan Allahyarham Pak Mat di Kampung Anak Ikan sebelum ke Kota Bharu bagi menghadiri satu program TEKUN di sana.

- Advertisement -

Beliau selaku Pengerusi TEKUN Nasional mengadakan lawatan ke Platinum Mall, Kota Bharu pada sebelah petang bersama Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, Dato’ Adam bin Abd Ghani.

Turut sama hadir dalam lawatan itu ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan dan Korporat), Roshaimi Harun, Ketua Bahagian Pengurusan Kewangan, Yusuf Awang, Pengurus TEKUN Nasional Negeri Kelantan Che Othman Che Wil @Ismail, serta kakitangan TEKUN Nasional negeri.

“Tujuan lawatan ini bagi meninjau perkembangan terbaru hab membeli belah barangan borong ini dari sudut penyediaan fasiliti dan sebagainya,” tulisnya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya, semalam.

Platinum Mall terletak di kawasan yang cukup strategik yang berdekatan dengan tiga pusat pengajian tinggi iaitu Kolej Politeknik MARA (KPTM), Lincoln College dan UiTM Kampus Kota.

Ia juga berdekatan dengan Terminal Bas Kota Bharu yang memudahkan pengujung untuk datang.

Menurutnya, pada masa akan datang, sebuah hospital akan dibangunkan berhadapan dengan pusat membeli belah itu. – HARAKAHDAILY 14/2/2021

- Advertisement -