Di sebalik tular isu kerosakan Gunung Inas

- Advertisement -

KELULUSAN asal untuk ladang hutan ganti diperolehi pada tahun 2007 seluas 5,000 hektar (12,355 ekar) oleh Kedah Agro Sdn Bhd (Anak syarikat MBI Kedah) dan sebuah syarikat usahasama. 

Kerajaan bertukar pada 2008 (PRU-12). Projek itu diteruskan oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak. Kayu-kayu diserah kepada Jabatan Perhutanan untuk ditander terbuka, kerja menanam diserah kepada Kumpulan Ladang-ladang Perbadanan (KLPK).

- Advertisement -

Mula ditanam getah (TLC) pada 2012 oleh Kumpulan Ladang-ladang Perbadanan di fasa 1 seluas 400 ekar. Konsep projek pada masa itu adalah membangunkan Ladang Rakyat yang akan diuruskan oleh Kedah Agro. Nama-nama penduduk miskin seluruh Kedah dikumpulkan oleh Pejabat Daerah dan mereka dimasukkan sebagai peserta Ladang Rakyat yang dibayar dividen tahunan berdasarkan pendapatan daripada ladang rakyat itu.

Konsep Ladang Rakyat dalam program ladang hutan ganti (TLC) itu akan diperluaskan ke daerah-daerah lain dari masa ke semasa. Fasa 1 projek itu akan memanfaatkan 300 penduduk miskin dari Daerah Baling dan sekitarnya. Mereka hadir menerima dividen pertama pada hari projek itu dirasmikan oleh TS Ustaz Azizan Abdul Razak di Charok Rotan Emas, sebahagian tapak projek itu. Ramai lagi yang hadir ke majlis itu.

Masa berlalu: 

Selepas PRU pada 2013, kerajaan negeri bertukar. Projek Ladang Rakyat itu tidak diteruskan atau batal! 400 ekar itu sajalah ditanam getah. Ladang Rakyat dan penduduk miskin yang dipilih menjadi pesertanya pun berkubur tanpa nisan.

Tapak kelulusan projek TLC itu diserahkan kepada syarikat lain oleh kepimpinan kerajaan dan MBI pada masa itu. Perubahan kerajaan turut mengubah ladang hutan TLC fasa-fasa berikutnya kepada tanaman lain yang kini dikenali sebagai ladang Durian Musang King terbesar di dunia. Daripada kelulusan asal 12,355 ekar, tiba-tiba telah menjadi 30,000 ekar dalam tempoh 2013-2019.

Banjir dan lumpur mengancam penduduk sekitar akibat mendapan tanah di sungai sekitar kawasan itu sejak beberapa tahun lalu. Sungai menjadi cetek dan air melimpah ke kawasan kediaman. Paling kerap pada 2019. 

Saya difahamkan syarikat asal yang diberikan kawasan itu selepas perubahan kerajaan pada 2013 lalu telah menjual projek ladang itu mereka kepada sebuah syarikat lain. Exco Alam Sekitar Kerajaan PH pada 2019 juga turut membuat beberapa kenyataan media berhubung banjir lumpur dan Musang King di Gunung Inas.

Kerajaan bertukar lagi:

Pada Julai tahun lalu (2020), sebulan selepas mengambil alih kerajaan daripada PH, sempena Mesyuarat Exco Kerajaan yang diadakan di Baling, saya mengarahkan projek tanaman durian yang didakwa menyebabkan banjir itu dihentikan. Dasar kita jelas, peraturan mesti dipatuhi, pelanggaran undang-undang tidak boleh dikompromi. Kepentingan rakyat mesti didahulukan.

Projek ladang hutan mesti ditanam spesis yang dibenarkan oleh Jabatan Perhutanan, dan durian tidak termasuk spesis itu. Walau bagaimanapun, Jabatan perhutanan membenarkan 20 peratus keluasan yang diluluskan ditanam dengan spesis buah-buahan. Pada masa itu (Julai 2020), dilaporkan 2,000 ekar sudahpun ditanam Durian Musang King.

Arahan kerajaan jelas:

Hentikan tanaman Durian Musang King, kembali kepada tanaman yang dibenarkan untuk ladang hutan ganti di tanah yang diluluskan. Tanah-tanah yang sudah gondol mesti ditanam dengan tanaman tutup bumi segera untuk mengelak hakisan. 

Bersabit video yang tular semalam, saya difahamkan ia video lama sebelum arahan berhenti kerja dibuat pada Julai 2020. Saya tidak kenal mereka, sama ada mereka itu syarikat yang diberi hak membangunkan ladang hutan selepas tahun 2013 ataupun syarikat yang membeli projek itu daripada syarikat asal. 

Saya tidak tahu tujuan sebenar ia ditularkan semula. Walau bagaimanapun, saya telah meminta laporan penuh keadaan semasa di kawasan terbabit daripada semua agensi yang terbabit. Tindakan berikutnya akan dibuat berdasarkan laporan-laporan itu.

Terkini:

Getah yang ditanam pada 2012 itu sudahpun mula ditoreh beberapa tahun lepas. Ia masih diuruskan oleh Kedah Agro Sdn Bhd, anak syarikat MBI. Tapi ia bukan lagi berkonsepkan ladang rakyat yang dirancang pada 2012… 

Sekali air bah, sekali pantai berubah. Kita tetaplah pada diri dan matlamat kita.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua.”

MUHAMMAD SANUSI MD NOR – HARAKAHDAILY 6/2/2021

- Advertisement -