Jangan kurang hormat institusi presiden – Tok Mat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Umno mengajak semua pihak kembali kepada kesatuan dalam parti itu dengan saling mendamaikan antara satu sama lain.

Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan berkata, sedikit bibit perpecahan antara pimpinan parti itu akan memberi peluang kepada pihak lawan meretakkan Umno dengan membesarkan perpecahan.

“Jangan sesekali kita membuka ruang untuk persahabatan dan setia kawan dalam Umno diadu dumba sehingga kita menjadi berseteru antara satu sama lain.

- Advertisement -

“Tiada siapa yang akan untung atas perpecahan Umno dan tiada siapa juga yang akan menang. Sama lebur sama binasa,” katanya pada catatan di media sosialnya hari ini.

Kebelakangan ini muncul pelbagai sepanduk yang menggesa Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan sebagai presiden parti itu.

Semalam, Umno Kuala Kangsar membuat laporan polis kain rentang yang digantung di beberapa kawasan mendesak Dr Ahmad Zahid meletak jawatan.

Mohamad berkata, beliau melihat kemunculan budaya yang tidak sihat dalam Umno kebelakangan ini iaitu mendesak pengunduran presiden parti.

Kataya, pelbagai kain rentang dan sepanduk dengan perkataan nista dan kurang sopan digunakan dalam desakan tersebut.

“Ini bukan budaya dan nilai Umno. Malah ini bukan adab dan susila kita sebagai orang Islam dan Melayu.

“Pesan saya, janganlah sesekali kita terkurang hormat kita kepada institusi presiden, yang wajar disantuni dengan sopan dan tata susila sebaiknya.

“Kita boleh berbeza pandangan, aspirasi dan citra kerana Umno itu nilainya demokratik, tetapi janganlah sampai ia membawa kepada sengketa yang akhirnya memecah-belahkan Umno,” ujarnya yang mesra dengan panggilan Tok Mat.

Pepatah Melayu berpesan, “Menurut Biar Berakal, Menentang Biar Beradab”. – HARAKAHDAILY 26/1/2021

- Advertisement -