Mobilisasi sumber perkhidmatan awam akan dilaksana

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan mobilisasi sumber Perkhidmatan Awam Persekutuan dan negeri dengan melakukan penjajaran sementara kakitangan awam ke tempat yang memerlukan perkhidmatan tambahan terutama bagi perkhidmatan sokongan kesihatan dan keselamatan.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata penggunaan aset kerajaan yang kurang optimum seperti kenderaan jabatan boleh dikongsi untuk menyokong kelancaran operasi perkhidmatan kritikal agar lebih bersepadu dan selaras.

“Manakala, bangunan dan fasiliti kerajaan yang bersesuaian akan dikenal pasti di seluruh negara bagi tujuan pusat pengambilan swab test.

- Advertisement -

“Jabatan Perkhidmatan Awam bertanggungjawab menyelaras perkara ini bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kementerian, jabatan, agensi lain terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, katanya kerajaan juga akan integrasikan keupayaan perkhidmatan hospital sektor awam dan swasta dalam tempoh darurat ini.

Menurut Mohd Zuki, ia bagi memastikan koordinasi yang sistematik agar jaminan akses kesihatan yang menyeluruh dan bersepadu dapat dilaksanakan bagi pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19.

Dalam masa yang sama, akan mengoptimumkan sumber kesihatan dan kepakaran yang ada untuk tujuan perawatan pesakit sewaktu pandemik Covid-19.

“Pengoperasian hospital awam termasuk Hospital Universiti, Hospital Angkatan Tentera dan Hospital Swasta akan diletakkan secara hibrid berdasarkan konsep Hospital Kluster di bawah Pusat Kawalan Covid-19 Bersepadu.

“Mengoptimumkan kapasiti makmal sedia ada terutamanya di jabatan karajaan dan universiti awam (UA) bagi tujuan pengujian serta pengesanan Covid-19 secara berskala besar,” ujarnya.

Tambahnya, mobilasi lain-lain sumber perubatan seperti peralatan, pakaian pelindung diri (PPE), ubat-ubatan adalah mengikut keperluan hospital, terutamanya bagi perkhidmatan kesihatan umum termasuk memobilisasi anggota perubatan seperti jururawat dari hospital swasta khususnya yang mempunyai kepakaran tertentu untuk bertugas sementara di hospital awam.

Manakala katanya, mekanisme pembiayaan pesakit Covid-19 oleh pihak insurans di hospital swasta sedang diperhalusi oleh Kementerian Kewangan (MOF), KKM, Bank Negara Malaysia (BNM) dan industri insurans.

Namun, katanya buat masa ini, peranan sektor swasta diperkasakan bagi merawat pesakit Covid-19 yang mampu membiaya sendiri kos perubatan dan rawatan.

Sementara, KKM akan terus melaksanakan libat urus dengan pihak hospital swasta dan pihak berkepentingan lain dalam memastikan kelancaran pengurusan Covid-19 serta perkhidmatan kesihatan umum tidak terjejas, katanya. – HARAKAHDAILY 26/1/2021

- Advertisement -