MB Kedah nasihat Saravanan fokus tugas menteri

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Sumber Manusia, Dato’ Seri M. Saravanan dinasihatkan memberi fokus kepada kementeriannya daripada membuang masa mencampuri urusan pentadbiran di Kedah.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, adalah lebih baik Saravanan memberi perhatian kepada tugas hakikinya yang masih belum selesai.

- Advertisement -

“Isu cuti peristiwa untuk Thaipusam boleh sahaja diselesaikan bersama Kerajaan Persekutuan tanpa membuat kenyataan menyalahkan pihak lain.

“Dia boleh minta Kerajaan Persekutuan umumkan sebagai cuti umum seluruh negara, selesailah sekelip mata tanpa bising-bising.

“Bolehlah masyarakat India di negeri-negeri yang belum bercuti sempena Thaipusam menumpang rahmat kebijaksaannya.

“Bukankah dia masuk mesyuarat Kabinet tiap-tiap minggu?” ujarnya dalam satu kenyataan.

Kata Sanusi lagi, menteri tersebut sewajarnya memberi perhatian kepada masalah pekerja asing, penularan Covid-19, pematuhan standard operating procedure (SOP) yang melibatkan penginapan, pergerakan sama ada dari sektor ke sektor lain, ke kilang, ladang atau pun tapak binaan.

Di samping itu, katanya Saravanan perlu memberi perhatian kepada masalah ribuan pekerja yang terjejas akibat wabak Covid-19 dan langkah penyelesaian yang menjadi punca penyebaran wabak terbabit.

“Banyak perkara yang patut beliau beri perhatian daripada membuang masa mempolitikkan isu cuti peristiwa Thaipusam di Kedah termasuk bagaimana perkara yang melibatkan penguatkuasa Akta 446, Standard Minuman Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan 2019) dapat dikawal selia dengan lebih berkesan.

“Masalah kawal selia majikan dan pekerja asing yang melebihi sejuta orang di pelbagai sektor di Malaysia,” kata Sanusi berhubung tugas Kementerian Sumber Manusia yang masih jauh tertinggal di belakang.

Tambahnya, Saravanan wajar mengetahui medan sebenarnya sekiranya betul-betul mahu menjadi hero di alam nyata yang jelas tidak sama dengan watak hero lakonan Rajnikanth.

“Kalau menteri betul-betul fokus tentang tugasan hakikinya dengan beban tugas yang berlambak-lambak, dia tak mungkin ada masa nak selongkar bidang kuasa orang lain untuk mencipta isu meraih populariti daripada kalangan kaum sendiri, lainlah kalau dia kerja nak cari nama untuk kekal popular saja,” ujarnya lagi.

Baru-baru ini, Saravanan yang juga Timbalan Presiden MIC telah membuat kenyataan menyelar Menteri Besar Kedah ekoran tidak mengisytiharkan Thaipusam sebagai cuti peristiwa pada tahun ini.

Tindakannya itu menerima kritikan ramai apabila menggunakan kepala surat Kementerian Sumber Manusia atas tujuan politik. – HARAKAHDAILY 23/1/2021

- Advertisement -