Petugas IM saksikan ‘tangisan’ di Pondok Pok Kob

- Advertisement -

MARAN: Para petugas PAS mewakili Khidmat Malaysia Indera Mahkota menyaksikan sendiri ‘tangisan’ akibat musibah banjir yang menenggelamkan selama 12 hari Maahad Tahfiz Pondok Pok Kob, Kampung Chenor, di sini.

- Advertisement -

Ketika banjir melanda, pusat pengajian ini langsung ‘lenyap’ lantaran dinaiki air hingga ke aras bumbung yang nyata melumpuhkan terus segala kegiatan dan urusan, malah membawa kelelahan tidak terhingga warganya.

“Pondok kami tenggelam sampai tahap atap selama lebih kurang 12 hari. Air surut sangat perlahan. Kami hanya sempat melarikan barangan penting sahaja ke bangunan asrama perempuan (bangunan tiga tingkat) bersebelahan,” cerita salah seorang pelajar, Azdil Ifuan Abd Rahman.

Ketua Muslimat PAS Indera Mahkota, Salwani Saleh berkata, perkara disaksikan mereka itu sememangnya sungguh menyedihkan melihat sendiri kerosakan dan kemusnahan dialami akibat dari musibah banjir yang melanda.

Keseluruhan barangan milik pelajar pondok dihuni 40 remaja dan dewasa lelaki serta perempuan ini langsung terpaksa dilupuskan antaranya perabot, tikar, tilam, rehal, al-Quran dan pelbagai kitab serta barangan lain.

Yang DiPertua PAS Indera Mahkota, Andansura Rabu yang juga ADUN Beserah sendiri mengetuai operasi ini dengan kehadiran bersama tenaga empat pacuan empat roda, tiga kenderaan serba guna (MPV) dan lima kereta, serta sebuah lori.

Mereka juga membawa sama keperluan air dengan kapasiti besar untuk tugasan tersebut dan bertugas dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang kemungkinan COVID-19 sebagaimana diperingat Andansura.

Kekuatan seramai 60 petugas ini ternyata turut bergelumang dengan lumpur yang dibersihkan bersama timbunan sampah dan genangan air, sebelum pulang dalam kesayuan disebalik keringat dicurah membantu operasi ini.

Para sukarelawan atau dermawan yang mahu membantu boleh berhubung Pengetua Pondok Pok Kob, Ustaz Barkatullah Mohd Bahari di talian 011-1499 8463. – HARAKAHDAILY 22/1/2021

- Advertisement -