Tidak wajar tekan pensyarah benar lawatan pelajar

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pentadbiran universiti sepatutnya tidak mengaitkan seseorang ahli akademik dengan jalur politik tertentu hanya sekadar membenarkan pelajar melawat ke pejabat parti politik.

Sedangkan lawatan sambil belajar sesuai dengan pelajar bagi Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi.

- Advertisement -

Difahamkan lawatan itu diadakan pada 2019 ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir Kerajaan Persekutuan.

Lawatan tersebut bagi membolehkan pelajar meninjau dari dekat pentadbiran sebuah pejabat parti kompenan PH ketika itu.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Muhammad Abdul Malek Abdul Karim berkata, tidak wajar tekanan sehingga didakwa memaksa seorang pensyarah meletak jawatan kerana membenarkan pelajar melawat sebuah parti politik.

Katanya menjadi kewajaran lawatan diadakan di mana-mana parti politik sesuai dengan pelajar yang mendalami ilmu sains politik.

“Tidak wajar sehingga wujud pula desakan supaya pensyarah kanan terbabit meletak jawatan kerana isu yang begitu kecil.

“Kalau isu pecah amanah dan integriti kita pun tidak kompromi. Malah pelajar universiti juga ramai datang melawat sambil belajar di pejabat PAS di Kelantan,” katanya di sini.

Sebuah portal semalam melaporan alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub meminta penjelasan universiti itu berhubung dakwaan seorang pensyarah yang dikatakan diminta meletakkan jawatan sebagai Penolong Rektor UiTM Raub.

Laporan itu mendakwa ada desas-desus bahawa Dr Che Hamdan Mohd Razali diarah menulis surat peletakan jawatannya pada 28 Disember 2020, kerana tekanan pihak atasan.

Sementara itu sumber UiTM menjelaskan lawatan pelajar terbabit ke ibu pejabat parti kompenan PH berlaku pada 2019 diberi kebenaran pensyarah terbabit.

Katanya, pensyarah terbabit hanya sekadar menyokong kertas kerja pelajar untuk lawatan tersebut, dan dia tidak terlibat dengan lawatan berkenaan. – HARAKAHDAILY 21/1/2021

- Advertisement -