PERMAI beri makna besar kehidupan rakyat

KOTA BHARU: Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion memberi makna besar kepada kehidupan rakyat.

Adun Kelaboran, Mohd Adanan Hassan berkata, bantuan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini memberi kesan sangat besar ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Advertisement

Katanya, PERMAI merupakan bantuan untuk membantu rakyat terutamanya mereka yang berdepan dengan kesukaran mencari rezeki berikutan pelaksanana PKP sekarang.

“Pakej bantuan yang diberi kerajaan juga meliputi mereka yang terlibat sebagai barisan hadapan dan golongan peniaga yang terjejas.

“Selain itu bantuan tersebut juga bertujuan memerangi wabak Covid-19 dan memelihara kesejahteraan rakyat. Kita juga akan pastikan penduduk terlibat mendapat bantuan tersebut,” katanya di sini.

Isnin lepas Perdana Menteri mengumumkan pakej bantuan PERMAI bagi mengurangkan beban dihadapi rakyat dan ketahanan ekonomi ketika berdepan penularan pandemik Covid-19.

Bagi memerangi wabak tersebut kerajaan menyediakan dana tambahan sebanyak RM1 bilion merangkumi hampir RM800 juta kepada Kementerian Kesihatan dan selebihnya kepada Majlis Keselamatan Negara serta agensi lain.

Adun Dabong, Ku Mohd Zaki Ku Hussin juga mahu memastikan semua pihak yang layak medapat bantuan PERMAI bagi membantu kehidupan mereka. – HARAKAHDAILY 21/1/2021