Ibu curi ubat, makanan terima bantuan polis

KUALA LUMPUR: Seorang ibu kepada tiga anak yang mencuri ubat dan makanan untuk anak-anaknya, hari ini menerima kejutan apabila polis melawat dan menyampaikan sumbangan di kediamannya di Petaling Jaya, hari ini.

Wanita itu dikatakan gagal membayar barangan iaitu Kool Fever patch, sosej dan kek, yang keseluruhannya bernilai RM58 untuk anaknya-anaknya yang seorang daripadanya mengalami demam ketika ditahan pengawal keselamatan sebuah pasar raya, di Petaling Jaya pada Rabu.

Advertisement

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, sumbangan yang diserahkan adalah barangan yang gagal dibeli wanita itu untuk anak-anaknya semalam, dan makanan serta keperluan harian lain yang disumbangkan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Saya terpanggil untuk datang memberikan sumbangan ini selepas mengetahui kejadian itu, apabila pasar raya berkenaan membuat laporan polis pada hari yang sama.

“Saya turut berpesan kepadanya supaya memohon bantuan zakat, datang ke masjid atau datang ke balai polis, jika benar-benar perlu bantuan pada masa hadapan,” katanya kepada Bernama.

Nik Ezanee juga berkata berkata wanita itu diberi nasihat supaya tidak mengulangi perbuatannya dan kes itu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

“Wanita ini turut terkesan akibat penularan pandemik COVID-19 dan sekarang adalah masa bagi semua anggota masyarakat untuk saling bantu membantu,” katanya.

Facebook rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya turut membuat hantaran mengenai ziarah berkenaan, dan mendapat maklum balas positif daripada pengguna laman sosial itu. – BERNAMA