Darurat: Anwar terdesak, pentingkan agenda peribadi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Langkah mutakhir Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memohon kebijaksanaan baginda menilai semula proklamasi darurat disifatkan terdesak dan terkebelakang.

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata, Anwar hanya mementingkan agenda peribadi dan membelakangkan kepentingan kebajikan rakyat.

- Advertisement -

“Cuba dia (Anwar) lihat dari sudut pandangan yang dibuat melalui poll-poll (undian) awam yang menunjukkan bahawasanya netizen menerima baik pengisytiharan darurat tersebut.

“Bawa-bawalah bersabar, inilah masanya untuk dia nak kumpul tenaga bagi melawan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya yang akan datang,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Anwar, sebelum ini menyatakan bahawa pihaknya telah menghantar surat kepada Istana Negara bagi meneliti semula alasan dipersembahkan Perdana Menteri membabitkan isu darurat pada Isnin.

Dalam kenyataannya juga, perkara kedua membabitkan urusan Parlimen berikutan terdapat peruntukan dalam Perlembagaan yang membolehkan sidang Parlimen berjalan walaupun dalam keadaan darurat.

Dalam pada itu, Ustaz Idris menyifatkan tindakan Anwar yang juga merupakan Presiden PKR itu mengganggu gugat usaha kerajaan bagi memutuskan penularan wabak Covid-19 dan menggugat kestabilan pentadbiran politik negara.

Katanya, mencabar keputusan Agong di mahkamah berkaitan proklamasi darurat merupakan tindakan sia-sia dan hanya mengundang kemurkaan baginda.

Pada 17 Januari lalu, Anwar dalam satu kenyataan memaklumkan akan mencabar pengisytiharan darurat yang dibuat kerajaan PN di mahkamah. – HARAKAHDAILY 21/1/2021

- Advertisement -