Peniaga tegas tolak pelanggan mahu makan di kedai

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua di Kelantan tidak menjejaskan aktiviti perniagaan, sebaliknya tidak dinafikan keuntungan agak berkurangan berbanding sebelum ini.

PKP dilaksanakan semula di Kelantan sejak tiga hari lalu sehingga 26 Januari ini bagi membendung pandemik Covid-19 yang kian melarat kebelakangan ini.

- Advertisement -

Kebanyakan pemilik kedai makan dan orang ramai menyifatkan langkah kerajaan melaksanakan PKP sebagai tepat walaupun menjejaskan kehidupan harian mereka.

Ketika KPK sebelum ini, kedai makan tidak dibenarkan sebaliknya PKP 2.0 membenarkan premis itu beroperasi secara bungkus untuk pelanggan membawa pulang.

Seorang pemilik restoran yang ingin dikenali sebagai Awang, 45, berkata beliau terpaksa bertindak tegas terhadap pelanggannya yang mahu meminta untuk makan dan minum di kedainya.

Katanya, ada segelintir anggota masyarakat yang tidak menghiraukan arahan kerajaan supaya makan dan minum secara bungkus untuk mengelakkan berkumpul orang ramai.

“Kadang-kadang kita terpaksa bertindak keras terhadap sebahagian pelanggan tetap kita yang dilihat tidak ‘reti bahasa’ yang meminta untuk makan di premis kita.

“Ini dilakukan kerana kita sedar peraturan PKP serta undang-undang yang dibuat, kita tidak mahu berkompromi dalam isu wabak kerana ia membabitkan nyawa kita sendiri,” katanya ketika ditemui di sini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan PKP dilaksanakan semula di Kelantan ekoran peningkatan mendadak kes positif Covid-19.

Oleh itu menurutnya, peraturan berkaitan SOP selama tempoh PKP seperti peniaga atau premis makanan dibenarkan beroperasi bermula 6 pagi hingga 8 malam.

Bagaimanapun, kerajaan Kelantan memberi kelonggaran premis perniagaan beroperasi sehingga jam 9.30 malam.

Sementara itu, suasana di sekitar bandar Kota Bharu agak lenggang selepas PKP dilaksanakan sejak 16 Januari lepas. – HARAKAHDAILY 18/1/2021

- Advertisement -