Covid-19: MB Kedah jalani saringan 14 kali

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor disahkan negatif selepas menjalani ujian saringan Covid-19 Khamis lepas.

Menurutnya, ujian berkenaan merupakan rutin sebelum keluar dari Kedah, terutamanya ketika situasi pandemik semakin membimbangkan sekarang.

Advertisement

“Ini merupakan kali ke-14 saya menjalani ujian saringan Covid-19. Alhamdulillah semua keputusan adalah negatif,” ujar beliau di sini, semalam.

Katanya, ujian saringan yang dijalani di sebuah hospital swasta untuk mempastikan beliau bebas daripada wabak terbabit sebelum dibenarkan merentas negeri bagi menghadiri mesyuarat di Putrajaya.

“Ujian terbaru dilakukan kerana saya hadir ke mesyuarat berkaitan darurat Majlis Keselamatan Negara di Putrajaya yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari Sabtu,” ujarnya.

Sementara itu, beliau menafikan ujian tersebut ada kaitan dengan Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad yang disahkan positif Covid-19, Jumaat lalu.

Beliau juga tidak menjadi kontak dengan Ustaz Idris ketika pemimpin itu hadir pada program anjuran PAS di Kedah, Jumaat lepas. – HARAKAHDAILY 18/1/2021