Pemuda lompat pagar lolos sekatan jalan raya

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Seorang lelaki bertindak nekad meninggalkan motosikal dan sebotol air ketum 1.5 liter selepas terbabas ketika cuba meloloskan diri daripada sekatan jalan raya (SJR) di lorong tikus di Kampung Golok.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, pemuda berkenaan bersama beg sandang melompat pagar berdekatan dan melarikan diri ke dalam semak.

- Advertisement -

Katanya, hasil pemeriksaan awal polis menemukan peralatan menagih dadah termasuk jarum suntikan.

“Turut ditahan dua lagi lelaki yang cuba melepasi kawasan operasi dengan sebuah motosikal dari laluan Gong Manak ke simpang tiga Kampung Golok.

“Kedua-dua suspek mengaku pernah ditahan di penjara, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Ops Rentas Negeri dan sekatan jalan raya di lorong tikus Kampung Golok di sini, hari ini.

Seramai 20 anggota polis termasuk lima pegawai terlibat dengan operasi berkenaan.

Mohd Azmir juga berkata, sebuah motosikal Honda RS150 yang ditinggalkan pemuda berkenaan dan sebuah motosikal Honda EX5 bersama dua penagih turut dibawa ke IPD Pasir Puteh.

Menurutnya juga, dalam tempoh lebih tiga jam operasi dijalankan, sebanyak tiga kompaun bagi kesalahan rentas negeri dan 21 saman trafik bagi pelbagai kesalahan Akta Pengangkutan Jalan dikeluarkan.

Kata beliau, sebanyak 53 orang dan 50 kenderaan diperiksa bagi mengesan pelbagai kesalahan termasuk jenayah dan narkotik. – HARAKAHDAILY 18/1/2021

- Advertisement -