PBAPP dinasihat tidak campuri urusan Kerajaan Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah hari ini memberi peringatan kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) supaya tidak campur tangan dalam isu kedaulatan, khususnya mengenai kawasan tadahan air di mana-mana lokasi di negeri itu.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor turut menasihati mana-mana syarikat terutamanya PBAPP agar tidak lagi mengeluarkan kenyataan menyentuh isu, antaranya berkaitan hutan, sungai serta wilayah di Kedah, kerana hanya Kerajaan Negeri Pulau Pinang sahaja yang layak berurusan dengan kerajaan negeri itu.

“Kerajaan negeri Kedah hanya akan berurusan dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, tidak akan berurusan dengan mana-mana syarikat (dalam isu caj air mentah) sebab selepas tandatangan perjanjian sertai Malaysia pada 1963, Kedah adalah sebuah kerajaan berdaulat meliputi kerajaan yang sah, undang-undang dipatuhi, sempadan negeri dihormati dan ada rakyat yang dilindungi, inilah kedaulatan Negeri Kedah.

- Advertisement -

“Kedaulatan ini kita akan pertahankan, tidak boleh mana-mana syarikat seperti PBAPP masuk campur urusan kerajaan negeri, sungai, hutan dalam wilayah Kedah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini.

Beliau berkata pihaknya juga sudah menerima laporan Maklumat Kebergantungan Pulau Pinang Terhadap Sumber Air Kedah daripada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) yang memperincikan mengenai perundangan serta sejarah berkaitan sempadan dan sungai-sungai di negeri itu.

“Saya akan memperhalusi taklimat (laporan) berkenaan, berkaitan isu kebergantungan Pulau Pinang kepada Kedah ini, kita akan kaji apa proses yang boleh diambil (terhadap Kerajaan Pulau Pinang),” kata Muhammad Sanusi.

Kerajaan Negeri Kedah sudah banyak kali mengemukakan tuntutan secara bertulis kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak 2010 untuk menuntut caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun kerana negeri itu menggunakan air daripada sumber Sungai Ulu Muda yang terletak di Kedah.

Susulan itu, beberapa pihak termasuk PBAPP dilaporkan telah beberapa kali mengeluarkan kenyataan berkaitan kawasan tadahan air di Ulu Muda, yang dilihat Muhammad Sanusi sebagai mencampuri urusan kerajaan negeri ini.

Dalam perkembangan sama, Sanusi lapor Astro Awani berkata, wujud perbezaan ketara membabitkan penggunaan air oleh Perlis dan Pulau Pinang ketika mengulas mengenai cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang Kedah yang mahu kerajaan negeri itu turut membuat tuntutan sama ke atas negeri jiran itu.

Menurutnya, Kerajaan Kedah pernah membuat tuntutan kepada Perlis sebelum ini namun penggunaan air tidak begitu banyak berbanding Pulau Pinang yang mana 85 peratus bekalan air di negeri itu datang dari negeri ini.

Pada Khamis, kesemua 11 ADUN Pakatan Harapan (PH) Kedah menyokong penuh tindakan yang dibuat Sanusi dalam membuat tuntutan bagi caj pembekalan air mentah ke atas Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi PH Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi menegaskan, kaedah yang lebih berhemah perlu digunakan dalam melakukan perbincangan antara kedua-dua negeri selain mengelakkan sebarang kenyataan berbaur provokasi daripada kedua-dua belah pihak. – HARAKAHDAILY 12/1/2021

- Advertisement -