Projek mega ubah landskap ekonomi Kelantan

Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

TUMPAT: Tiga projek mega membabitkan dua jajahan di Kelantan bakal mengubah landskap sosial dan ekonomi di negeri itu.

Projek berkenaan iaitu pembinaan Jambatan Palekbang – Kota Bharu, pembangunan semula Kampung Laut dan pembangunan bersepadu Tok Bali, Pasir Puteh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Seri Mustapa Mohamed berkata semua projek berkenaan dilaksanakan di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

- Advertisement -

Katanya, pembinaan Jambatan Palekbang – Kota Bharu menelan kos sebanyak RM250 juta kini dalam proses reka bentuk yang dijangka siap sepenuhnya pada akhir 2023.

“Jambatan tersebut akan menjadi pemangkin pembangunan semula Kampung Laut yang akan dijadikan sebagai Kampung Warisan.

“Kampung Warisan juga akan menempatkan semula Masjid Kampung Laut di lokasi asalnya,” katanya selepas mengadakan lawatan bersama Menteri Besar, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob sambil meninjau perkembangan projek pembinaan Jambatan Palekbang – Kota Bharu dan pembangunan semula Kampung Laut di sini hari ini.

Sebelum itu beliau mengadakan lawatan ke Tok Bali Suply Base (TBSB) dan Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali berkaitan rangka strategik pembangunan kawasan itu.

Mustapa berkata, Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali akan dibangunkan sebagai tempat pemprosesan tuna bagi mewujudkan peluang pekerjaan baharu untuk penduduk setempat dan menyumbang ke arah jaminan makanan negara.

Sementara itu, Ahmad berkata, Jambatan Palekbang – Kota Bharu akan menjadi pemangkin kepada pembangunan semula Kampung Laut menerusi pembangunan Kampung Warisan yang berkonsepkan ‘muzium hidup’.

Katanya, ia membabitkan pembinaan dua kompleks komersial iaitu Laman Warisan dan Laman Seni. – HARAKAHDAILY 3/1/2021

- Advertisement -