Dukung agenda perpaduan dan penyatuan ummah

- Advertisement -

BADAN Perhubungan PAS Negeri Johor dengan jelas dan konsisten mendukung wadah yang dibawa oleh PAS Pusat. PAS Johor melihat tiada jalan lain yang lebih baik dan utama demi menyelamatkan Islam dan Malaysia melainkan memperkemaskan dan memperkukuhkan agenda murni ini. 

Rakyat Malaysia telah dihidangkan dengan corak pentadbiran berasaskan nasionalis lebih 60 tahun dan pengurusan Pakatan Harapan selama 22 bulan yang hanya indah khabar dari rupa tidak seperti yang diimpikan oleh rakyat dan jauh dari garis panduan agama.

Untuk itu PAS bertegas supaya penyatuan ummah yang telah diusahakan bersama oleh PAS dan Umno 2 tahun yang lalu serta perpaduan ummah bersama BERSATU dan parti-parti komponen perlu diperjuangkan secara kolektif. 

- Advertisement -

Berhubung kerusi bertanding PRU15 nanti PAS Johor menyarankan kepada semua parti agar menyerahkan sepenuhnya keputusan itu kepada pimpinan parti di peringkat Pusat seperti amalan yang dilakukan oleh PAS selama ini. Selari dengan ayat Allah dalam surah al-Maidah: 

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat berat seksaan-Nya.”

PAS Johor juga berpegang pada ayat 9-10 surah al-Hujurat:

وَإِنْ طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا فَإِنْ بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَى فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّى تَفِيءَ إِلَى أَمْرِ اللَّهِ فَإِنْ فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ * إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

“Dan apabila ada dua golongan orang-orang Mukmin berperang, maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu dari keduanya berbuat zalim terhadap (golongan) yang lain, maka perangilah (golongan) yang berbuat zalim itu, sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah. Jika golongan itu telah kembali (kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara keduanya dengan adil. Dan berlakulah adil, sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.”

Pertelingkahan dan perebutan kuasa sesama kita tidak akan menguntungkan malahan akan memberi ruang lebih besar kepada musuh untuk memenangi pilihan raya yang ke-15 nanti. PAS Johor menyeru semua pihak supaya sama-sama memperkukuh dan mempertahan demi agama, bangsa dan Negara.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

USTAZ ABDULLAH HUSIN
Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Negeri Johor (BPPNJ)
03 Januari 2021 | 19 Jamadil Awal 1442 – HARAKAHDAILY 3/1/2021

- Advertisement -