Nelayan berenang 14 jam selepas bot karam

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Seorang tekong dan tiga awak-awak terpaksa berenang lebih 14 jam ke Pulau Perhentian untuk menyelamatkan diri selepas bot mereka karam dipukul ombak berdekatan dengan pulau berkenaan kelmarin.

- Advertisement -

Tekong Tuan Azhar Tengku Long, 46, berkata, beliau dan tiga rakan terpaksa terjun ke laut selepas bot mereka dimasuki air dan karam akibat dipukul ombak ketinggian antara 3 hingga 4 meter pada kejadian yang berlaku jam 1.30 tengahari.

“Ketika kejadian kami sedang berusaha untuk menaikkan pukat apabila menyedari ombak semakin besar,” katanya kepada pemberita di Jeti Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tok Bali di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, empat mangsa iaitu Tuan Azhar, Norizan Yusof, 45, Tuan Azrizal Tuan Azhar, 19, dan Mohd Azri Mohd Rasdi, 28, selamat manakala Ashaari Leh, 46 masih belum ditemui.

Bagaimanapun Norizan dikejarkan ke Pusat Kesihatan Kuala Besut untuk mendapatkan rawatan kerana kekurangan oksigen sebaik tiba di pangkalan APMM di sini.

Empat dari mereka berasal dari Pasir Puteh iaitu dari Kampung Gong Keding, Tebing Tingga dan Tok Bali manakala seorang dari Penarik, Terengganu.

Tuan Azhar berkata, sejak pagi beliau sudah menyedari keadaan cuaca mulai berubah dan mengambil keputusan untuk memukat berhampiran dengan Pulau Perhentian sebagai langkah bergjaga-jaga.

Katanya, ketika beliau dan rakan-rakannya sedang berenang dengan memakai jaket keselamatan menuju ke pulau berkenaan Ashaari mengambil keputusan meninggal kumpulan secara bersendirian.

“Setakat ini saya tidak tahu sama ada dia selamat atau sebaliknya”, katanya.

Sementara itu Ibu Ashaari, Hurani Awang, 73, ketika ditemui berkata, beliau yakin anaknya masih selamat dan redha jika berlaku disebaliknya.

Beliau berkata, pada petang Rabu sebelum Ashaari keluar ke laut beliau memintanya supaya memasak nasi kerana mahu keluar awal dari biasa dan tidak menyangka kejadian itu berlaku. – HARAKAHDAILY 2/1/2021

- Advertisement -