Fenomena air laut pasang besar landa Terengganu

- Advertisement -

KUALA NERUS: Angin Monsun Timur Laut yang kencang dan fenomena air laut pasang besar menyambut malam Tahun Baharu 2021 di beberapa kawasan negeri Terengganu.

Sumber Harakahdaily memaklumkan, beberapa kawasan di pinggir pantai Terengganu yang terjejas seperti daerah Besut, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Dungun dan Kemaman.

- Advertisement -

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata, fenomena air pasang besar yang melanda negeri ini menyebabkan berlaku limpahan air laut hingga ke jalan raya serta kawasan kediaman penduduk berkenaan.

“Di pesisir pantai Seberang Takir atau dikenali ‘Pantai Miami’ di Kuala Nerus, malam tadi menyebabkan limpahan air laut dan terdapat kesan-kesan hakisan, dan juga batu-batu kecil yang bertaburan di atas pinggir jalan.

“Demi keselamatan orang ramai, kami (APM) telah meminta pihak polis untuk menutup jalan di sekitar kawasan pantai berkenaan.

“Kejadian limpahan air laut juga berlaku sekitar pantai lain di Kuala Nerus dan Pantai Teluk Lipat di Dungun,” ujarnya kepada Bernama, hari ini.

Beliau yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu memaklumkan, akibat fenomena itu menyebabkan 36 mangsa daripada sembilan keluarga di Kuala Besut terjejas.

Menurutnya, kesemua mangsa telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Pantai, Kuala Besut, akibat kediaman mereka dinaiki air.

“Bagaimanapun, kita (APM) difahamkan di seluruh Terengganu tidak ada hujan lebat semalam, hanyalah hujan renyai-renyai yang berlaku sekejap-sekejap sahaja tetapi ia merupakan impak daripada angin yang sangat kencang,” jelasnya.

Katanya lagi, keadaan angin kencang antara 50 hingga 60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian 2.5 hingga 2.7 meter dijangka akan berlarutan sehingga Rabu (6 Jan) terutama di kawasan Kuala Terengganu.

Sehubungan itu, Che Adam menasihati orang ramai agar tidak berada di kawasan pantai sepanjang tempoh tersebut.

“Sepanjang musim Monsun Timur Laut ini, sama ada siang atau malam, orang ramai dan penduduk tidak digalakkan berada di tepi laut bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Kami akan minta pihak polis menutup jalan di sekitar laluan Pantai Seberang Takir kerana kami menjangkakan fenomena yang sama akan berlaku lagi pada malam kedua ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/1/2021

- Advertisement -