Mangsa lemas ditemui selepas tiga hari operasi SAR

- Advertisement -

BENTONG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikatakan lemas dari Sungai Benus berakhir dengan penemuan mayat mangsa di Acacia, Sungai Dua, di sini tengah hari tadi.

Tan Kok Meng, 59, hanyut sejauh 5 kilometer dibawa arus deras ketika membantu rakannya mengikat tali di seberang sungai bagi tujuan menggerakkan jentera sedut pasir ke bahagian tengah sungai.

- Advertisement -

Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Zaiham Mohd Kahar dalam kenyataan semalam berkata, rakan mangsa mendakwa tidak sempat memberikan pertolongan kerana kejadian berlaku terlalu pantas.

Semalam, Sinar Harian juga melaporkan mangsa yang dipercayai mekanik lori jatuh ke Sungai Benus di belakang bangunan Pusat Servis Perodua dalam kejadian sekitar jam 7:30 petang kelmarin.

Terdahulu, Penyelaras DUN Ketari, Ustaz Roslan Md Esa bersama 10 sukarelawan PAS DUN Ketari dan Jabatan Amal berpengalaman telah terlibat sama dalam operasi menyelam di sungai tersebut.

“Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Bentong juga meminta kami menyediakan ‘fiber boat’ dan alhamdulillah kami dapat menyediakan dua bot seperti yang diminta oleh pihak bomba.

“Saya melihat permintaan ini merupakan suatu pengiktirafan kepada pihak PAS sebagai satu wadah pilihan yang mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan masyarakat,” ulas beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong.

Turut terlibat adalah Angkatan Perkhidmatan Awam Malaysia (APM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bersama NGO Cakna Rakyat (CAKNE) dan Abrar Care Malaysia berkampung di lokasi menjayakan operasi.

Yang Dipertua PAS Bentong, Khairuddin Abdullah turut hadir di tempat kejadian memberi sokongan sebelum misi ditamatkan sekitar jam 6 petang semalam dan telah disambung semula awal pagi ini. – HARAKAHDAILY 30/12/2020

- Advertisement -