Lebih 12,000 anggota bomba bersiap siaga banjir

- Advertisement -

BESUT: Seramai 12,510 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah bersiap sedia bersama-sama lebih 1,000 aset untuk digerakkan bagi menghadapi banjir musim tengkujuh yang dijangka berlaku, hujung tahun ini.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata anggota dan aset jabatan itu turut bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa bagi menghadapi situasi luar jangka seperti banjir kilat yang melanda beberapa kawasan kebelakangan ini.

“Lazimnya, musim tengkujuh akan tiba pada November dan berlarutan hingga Januari, jadi untuk persiapan (banjir), kita tempatkan aset-aset kita ke lebih 30 kawasan panas yang dikenal pasti sering berlaku banjir.

- Advertisement -

“Aset dan bantuan sumber manusia dari negeri yang tidak berlaku banjir akan digerakkan bagi membantu tugas-tugas memindahkan dan menyelamat mangsa di negeri yang berlaku banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Persiapan Latihan Pengurusan Bencana atau Disaster Management Exercise (D-Mex) dan Kempen Keselamatan Kebakaran Tahun 2020 JBPM Terengganu di Pulau Perhentian, di sini semalam.
 
Sementara itu katanya, latihan D-Mex yang diadakan selama dua hari bermula semalam melibatkan 250 anggota pasukan bomba bersama agensi penyelamat lain termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Diraja Malaysia bagi meningkatkan kecekapan anggota menangani sebarang situasi khususnya kes kecemasan di laut.

Katanya, latihan tersebut penting bagi meningkatkan koordinasi dan penyelarasan peranan setiap pasukan keselamatan dan penyelamat agar operasi dapat dijalankan lebih lancar dan efisien.

“Kita tidak mahu berlaku pertindihan tugas operasi ketika setiap agensi sedang ‘ghairah’ untuk memberikan bantuan semasa operasi menyelamat, ini tidak menepati hasrat dan tujuan sebenar persiapan ini,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -