Warga emas DUN Beserah gembira terima RRP

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Impian warga emas, Ngah Ismail untuk memiliki rumah yang selesa menjadi kenyataan apabila menerima serahan kunci Rumah Rakyat Pahang (RRP), kelmarin.

Sebelum ini, beliau yang berusia 88 tahun dan tidak berkeluarga itu menghuni sendirian di sebuah rumah yang sangat uzur dan tidak selamat untuk didiami di Kampung Pantai Beserah, di sini.

- Advertisement -

Majlis Perasmian Penyerahan Kunci Rumah telah disampaikan oleh ADUN Beserah, Andansura Rabu kepada Ngah yang melahirkan rasa terharu dan syukurnya atas penantian tersebut selama ini.

“Alhamdulillah DUN Beserah telah siap dua rumah untuk dibuat serahan, iaitu di Kampung Pantai Beserah ini, dan sebuah lagi di Cherating. Manakala satu lagi rumah dalam proses pembinaan di Alor Batu Jabor,” ujarnya.

Menurut Andansura yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, projek RRP ini adalah inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Negeri Pahang melalui Tabung Perumahan Negeri Pahang.

“Tabung yang diwujudkan oleh kerajaan negeri ini, adalah hasil sumbangan dari pemaju-pemaju perumahan yang besar, di mana mereka sumbang kepada tabung seberapa peratus dari keuntungan projek mereka.

“Dalam tahun 2021 kita mensasarkan sebanyak 100 rumah akan dibina di seluruh negeri Pahang, yang melibatkan tiga buah rumah dari setiap DUN.

“RRP dibina bagi mereka yang berada dalam golongan B40 yang mempunyai tanah tetapi tiada kemampuan kewangan. Keutamaan diberi kepada warga emas, ibu tunggal, dan anak yatim. Itu adalah di antara kriteria yang kita pilih.

“Status tanah mestilah tanah hak milik. Sekiranya tanah tu mempunyai ramai hak milik, maka perlu ada persetujuan bersama untuk membenarkan pembinaan rumah tersebut dibuat,” terang beliau.

Andansura juga menyatakan, inisiatif ini adalah satu usaha sangat baik dari kerajaan negeri dalam membantu rakyat yang tidak mampu menyelesaikan permasalahan mendapatkan rumah sedangkan memiliki tanah.

Walau bagaimanapun terangnya, tabung perumahan ini dananya sangat terhad dan terbatas kerana hanya mampu untuk menanggung kos sebanyak dua atau tiga rumah bagi satu DUN dalam setahun.

Beliau menambah lagi, kos sebuah rumah dalam projek ini bernilai RM65,000 dan masa yang diberi kepada kontraktor untuk menyiapkan pembinaannya adalah dalam tempoh sepuluh minggu.

“Buat masa ini proses membina rumah ini berjalan dengan lancar dan kontraktor yang dipilih telah berjaya menyelesaikan kerja dengan baik dan hasil kerjanya yang memuaskan.

“Kita harap rakyat terutama sekali di negeri Pahang dapat memberi sokongan yang baik terhadap usaha-usaha dari kerajaan negeri, pentadbiran setempat supaya kita boleh beri keselesaan terutama kepada rakyat di tempat kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/1/2021

- Advertisement -