PM lulus peruntukan segera bina ‘Culvert’ RM4.5 juta

Foto AHMAD EZANI RAZALI
- Advertisement -

KEMAMAN: Gelombang fasa keempat banjir musim tengkujuh yang melanda negeri Terengganu minggu ini, khususnya di daerah Kemaman turut mendapat perhatian Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat mewakili kerajaan negeri dan khususnya rakyat di daerah Kemaman merakamkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri.

Menurutnya, kunjungan Muhyiddin menyantuni mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok, amat bermakna dan dihargai oleh rakyat.

Ini kerana, kata Hanafiah, ‘kecaknaan’ pemimpin negara itu terhadap kesusahan rakyat dilihat dan diambil tindakan segera bagi menyelesaikannya.

“Saya (Hanafiah) mewakili kerajaan negeri Terengganu, khususnya rakyat di Kemaman. Saya mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang hari ini sempat hadir ke daerah Kemaman.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana meluluskan peruntukan segera untuk membina ‘culvert’ di Teluk Kalong, Kijal, Kemaman.

“Di mana perumahan RMM (Rumah Mampu Milik) Teluk Kalong yang sudah hampir tujuh tahun mengalami banjir setiap kali hujan lebat atau musim tengkujuh (L1) (L2).

“Alhamdulillah, peruntukan sebanyak RM4.5 juta diluluskan untuk membina ‘culvert’ di tengah jalan antara Teluk Kalong ke Bandar, dan dijangka akan dilaksanakan pada bulan Jun 2021,” ujarnya.

Beliau berkata demikian usai lawatan kerja Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok, Chukai, Kemaman, hari ini.

Hadir sama mengiringi Perdana Menteri itu, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Che Alias Hamid serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu.

Menurut Hanafiah, pembinaan ‘culvert’ yang menelan belanja RM4.5 juta itu dijangka siap dibina empat bulan selepas projek itu dilaksanakan.

Katanya, dengan pembinaan culvert itu limpahan air hujan itu akan dibuang seberapa segera mengikut saluran yang dibina ke Sungai Teluk Kalong.

“Culvert yang sedia ada masa ini kecil dan tidak sepadan dengan limpahan air hujan, apa lagi pada musim tengkujuh ini,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkata, pada bulan Mac 2021 depan projek tebatan banjir akan dilaksanakan di daerah Kemaman ini.

“Kos bina tebatan banjir sebanyak RM300 juta itu akan dilaksanakan di daerah Kemaman ini tahun depan.

“Tebatan banjir fasa pertama akan dilaksanakan pada bulan Mac depan dan memakan masa tiga tahun untuk siap.

“Jika siap tebatan (banjir) itu mungkin boleh menyelamatkan kawasan penempatan penduduk di Bandar Baru Bukit Mentok dan DUN Chukai, Insya-Allah,” jelasnya kepada Harakah.

Sebelum itu, Tan Sri Muhyiddin tiba di Padang Askata, Chukai pada jam 1.20 petang dengan menaiki helikopter daripada Kuantan.

Perdana Menteri itu dibawa mendengar taklimat banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok dan menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir, di sini, hari ini. – HARAKAHDAILY 22/12/2020

.

- Advertisement -