Rujuk pakar khasnya JAKIM – DPPM

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyarankan penganjur ‘Grand Final Gala Night bagi Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020’ mendapatkan nasihat pakar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

- Advertisement -

Saranan ini dikemukakan selepas Timbalan Lajnah Dakwah DPPM, Akram Ikrami Dato’ Taib Azamudden mendengar penjelasan dari wakil pihak penganjur program berkenaan yang diadakan di Hotel Zenith, disini, hari ini.

Dalam pertemuan itu, beliau mewakili DPPM turut menzahirkan bantahan terhadap penggunaan nama ‘Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020’.

“Ianya bercanggah dengan fatwa yang telah direkodkan di dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 dibawah Seksyen 34 (1) pengharaman kepada sebarang aktiviti yang melibatkan ratu cantik,” katanya.

Hal ini turut diakui oleh pihak penganjur yang menyatakan kesilapan mereka yang meletakkan nama dan poster yang tidak sesuai.

Pihaknya berkongsi hasrat utama mereka adalah untuk mengangkat kedudukan wanita teraniaya dan dizalimi.

Menjawab berhubung perkara itu, Akram berkata PAS tidak pernah mengenepikan siapa pun bangsanya, siapa pun jantinanya termasuklah wanita menjadi tuntutan kepada Islam itu sendiri.

“Islam mengangkat martabat wanita dan memperjuangkan wanita yang dizalimi,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan pihak penganjur supaya segera mungkin bertemu dan merujuk pihak-pihak yang berwajib.

Antaranya seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta JAKIM memandangkan ada dalam kalangan peserta ada yang beragama Islam.

“Rujuk pihak-pihak yang mampu memberikan pandangan sebab kita difahamkan ada empat orang daripada kalangan finalis (peserta) adalah muslim dan semua latarbelakang dianiaya, dizalimi dan diejek dengan saiz tubuh badan yang besar dan sebagainya.

“Kita faham dan sarankan selain daripada pertukaran nama, mereka mesti mewujudkan pihak-pihak pakar yang sepatutnya,” tegas beliau.

Perbincangan bersama wakil penganjur berjalan dengan baik dan mendapat kerjasama yang sangat jelas.

Turut hadir bersama beliau Setiausaha Lajnah Dakwah, Hafizul Husni Alias; Ketua penerangan Pemuda PAS, Nadzir Helmi; Penolong Setiausaha 3 DPPM, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai; dan Pengerusi Majlis Dakwah GAMIS, Abdul Hadi. – HARAKAHDAILY 22/12/2020

- Advertisement -