Ugut Ketua Polis Johor: LTTE hakikatnya mencabar negara!

- Advertisement -

UGUTAN bunuh oleh anggota kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) adalah isu serius yang menuntut keutamaan dan tindakan segera pihak kerajaan. Sasaran terhadap Ketua Polis Johor, Dato’ Ayob Khan Mydin Pitchay bukanlah bersifat peribadi mahupun individu.

Ia bukan gempak atau gertakan acah-acah, tetapi perlecehan yang menginjak keupayaan, maruah dan wibawa Polis DiRaja Malaysia (PDRM), bahkan juga seluruh pasukan keselamatan dan penguatkuasaan kita. Bermakna, ia mencabar dan menggugat kedaulatan negara ini sendiri.

- Advertisement -

Ideologi radikal LTTE bukan lagi rahsia di mana 32 negara dan badan-badan perisikan dunia menstatuskannya sebagai badan pengganas. Malah, pengganas yang telah merentas aktivitinya di banyak negara ini pernah merekodkan pembunuhan ke atas beberapa tokoh penting dunia.

Malaysia tidak perlu membuang masa membiarkan LTTE berkembang biak dalam negara ini kerana kegiatan dan suspek yang berkenaan sudahpun berada dalam rekod PDRM. Kerajaan mesti membuktikan bahawa undang-undang adalah kemurnian yang dapat mengekang isu seperti ini.

Ideologi seperti LTTE yang mendapat sokongan dan simpati politik adalah mara bahaya paling besar kepada seluruh manusia dan dunia. Apatah lagi jika ideologi ini boleh mencapai kuasa dan berada di puncak pemerintahan sebagaimana yang pernah menjadi sejarah sebelum ini. 

Cukuplah negara kita pernah mengalami derita berada di bawah pemerintahan Parti Komunis Malaya yang seboleh-bolehnya tidak mahu lagi dikenang. Kita tidak mahu individu penting seperti Dato’ Ayob yang menjadi benteng rakyat menghadapinya, apatah lagi ke atas warga seluruhnya negara ini.

Kami juga menggesa siasatan integriti menyeluruh dilakukan ke atas semua anggota pasukan keselamatan dan penguatkuasaan negara dalam mengenal pasti dalang-dalang yang menjadi ejen penjenayah. Pembongkaran isu-isu curang mutakhir ini sangat membimbangkan.

Kerana selain politik yang menjadi ‘penjaga’ kepada kegiatan aktiviti seumpama, kewujudan anggota sedemikian dalam pasukan hanyalah menjadi ‘api dalam sekam’. Jangan lagi kita kehilangan pejuang-pejuang hebat sepertimana terjadi ke atas mendiang Sarjan Baharudin Ramli.

Semua isu ini telah diakui sendiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador dan diambil tindakan di bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard. Sehubungan itu Pemuda PAS menyokong penuh usaha PDRM ini hingga segala isu tersebut berjaya selesai dibanteras.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”
“Memimpin Negara”

IR. TS. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 21/12/2020

- Advertisement -