Pembetungan awam Kelantan diselenggara IWK mulai 2021

- Advertisement -

KOTA BHARU: Perkhidmatan membabitkan sistem pembetungan awam di Kelantan kini diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan melalui Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) yang akan bermula pada 1 Januari 2021, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata persetujuan Kerajaan Negeri Kelantan menerusi Majaari Services Sdn Bhd (Maajari) menyerahkan sistem pembetungan kepada IWK adalah bagi memastikan perkhidmatan yang lebih teratur malah dapat dirancang serta dilaksanakan dengan cekap di negeri itu.

- Advertisement -

“Penyerahan sistem pembetungan awam di Kelantan ini juga bertujuan untuk menyeragamkan operasi perkhidmatan pembetungan di seluruh negara.

“Di samping itu, ia juga bagi memastikan air sisa kumbahan yang dirawat mencapai tahap piawaian tinggi khususnya dalam usaha pemuliharaan sumber air serta alam sekitar,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan penyerahan kontrak antara dua syarikat terbabit yang ditandatangani Pengarah Eksekutif Majaari Datuk Dr Wan Zawawi Wan Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif IWK Narendram Maniam di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob serta timbalannya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
 
Tuan Ibrahim juga berkata melalui penyerahan itu, sebanyak 33 loji rawatan kumbahan awam serta 13 stesen pam akan diselenggara IWK dan agensi tersebut turut menyediakan perkhidmatan menyahenap cemar kepada kira-kira 81,275 tangki septik individu serta 259,343 tangki tradisional di seluruh Kelantan.

“Penyerahan ini juga akan membuka ruang kepada penglibatan lebih signifikan Kerajaan Persekutuan dalam memodenkan sistem pembetungan di negeri ini antaranya Kementerian Alam Sekitar dan Air telah mengenal pasti pembangunan sebuah loji rawatan kumbahan berpusat di Tunjong dekat sini yang bernilai lebih setengah bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

“Dana akan turut disalurkan bagi kerja-kerja membaik pulih loji dan rangkaian paip pembetungan yang uzur untuk memastikan rakyat Kelantan terus menikmati perkhidmatan yang berkualiti,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata langkah menyerahkan sistem pembetungan kepada kerajaan pusat dapat membuka peluang baharu kepada kontraktor tempatan untuk bekerjasama dengan IWK melalui projek yang bakal dilaksanakan pada masa depan.

Majaari ditubuhkan pada Disember 2007 dan merupakan milikan penuh syarikat Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd (KUM) yang dimiliki 100 peratus oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan kerajaan negeri telah melantik Majaari mengambil alih pengurusan perkhidmatan sistem pembetungan di Kelantan daripada pihak berkuasa tempatan.

Terdahulu, satu memorandum persefahaman (MoU) turut dimeterai antara IWK dan KUM bagi merancang kolaborasi termasuk dalam usaha memberi perkhidmatan teknikal, menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat di Kelantan serta pelaksanaan pengebilan bersepadu dengan Air Kelantan Sdn Bhd. – BERNAMA

- Advertisement -