Menziarahi Tok Peramu: Pejuang maruah bangsa

- Advertisement -

NAMA Tok Peramu tidak dikenali dalam sejarah, kecuali selepas kemunculan Mat Kilau di Pulau Tawar pada 1969. Tok Peramu atau Tok Guru Peramu telah mendapat perhatian umum kerana beliau dapat menceritakan secara terperinci kisah-kisah perjuangan para pahlawan Pahang pada akhir abad ke-19. Kisah Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau yang merupakan para pejuang Pahang terbilang ketika itu dalam mempertahankan bangsa dan tanah air daripada penjajahan British berada dalam pengetahuan Tok Peramu.

Datuk Bahaman selaku Orang Kaya Semantan bergelar Dato’ Setia Pahlawan Semantan iaitu salah seorang Orang Besar Berlapan Pahang, sebelum diangkat oleh Sultan Ahmad sebagai Orang Kaya Temerloh yang bertaraf Orang Besar Berempat Pahang. Sejak 1890, beliau telah menggerakkan usaha menentang kemasukan British ke Pahang. Dalam siri pertempuran di Lubuk Terua, Datuk Bahaman dibantu oleh Tok Gajah dan Mat Kilau. Mereka kemudiannya berundur ke Kelantan dan Terengganu. Di Terengganu mereka mendapat perlindungan Tokku Paloh. Pada Jun 1894, mereka telah menyerang Jeram Ampai, Kuala Tembeling untuk menghalau British.

- Advertisement -

Kerana itu, British telah menggempur Datuk Bahaman dan orang-orangnya sehingga November 1895. Mereka kemudiannya sekali lagi berundur ke Kelantan. Beliau bersama Pawang Nong dan Mat Lela dikatakan menyerah diri kepada Kerajaan Siam dan ditahan di Chengmai. Sedangkan Tok Gajah dan Mat Kilau diberitakan meninggal dunia di Terengganu pada 1896. Kebangkitan Pahang yang berlaku antara 1890 hingga 1895 ini bukan sahaja telah melambatkan proses penjajahan, tetapi juga telah menunjukkan bahawa orang-orang Melayu telah bangkit mempertahankan maruah bangsa dan tanah air mereka. 

Sejak penyerahan diri Datuk Bahaman kepada Siam pada 1896 itu, nama Datuk Bahaman telah tenggelam dari perhatian rakyat. Setelah 75 tahun berlalu, dalam bulan Disember 1969, negara dikejutkan oleh pengakuan seorang lelaki tua di Pulau Tawar, bahawa beliau adalah Mat Kilau. Selepas kematian Mat Kilau pada 1970, muncul seorang tua di Peramu, Kuantan yang dikenali sebagai Tok Guru Peramu. Beliau mendapat perhatian masyarakat kerana mengetahui kisah-kisah perperangan tersebut secara detail. Akhirnya, sekitar 1976, Tok Guru Peramu telah membuat pengakuan, ‘Akulah sebenarnya Datuk Bahaman.’

Datuk Bahaman atau nama sebenarnya, Abdul Rahman bin Tuanku Imam Nuh, berketurunan dari keluarga bangsawan Kota Raja, Aceh. Ibunya, Rokiah adalah anak kepada Datuk Abdul Rahman, Orang Kaya Semantan. Beliau dilahirkan pada 1838, kemudian dilantik menggantikan datuknya sebagai Orang Kaya Semantan bergelar Datuk Bahaman. Setelah beliau ‘ditahan’ oleh Siam pada 1896, beliau sebenarnya tidak meninggal dunia, sebalik telah bersembunyi. Pada 1911, beliau berhijrah Terengganu, sebelum berpindah ke Kuantan pada 1920. Beliau tinggal di Peramu sejak 1926 selama lebih 50 tahun dengan menyembunyikan identitinya dan menggunakan nama Raja Sulaiman, tetapi selalu dikenali sebagai Tok Peramu. 

Setelah beliau membuat pengakuan mengenai identiti sebenar dirinya, sebagai Datuk Bahaman, Tok Guru Peramu telah meninggal dunia dalam usia 139 tahun pada 23 Julai 1977. Beliau dikebumikan di Perkuburan Tok Peramu, Peramu, Kuantan. Pada pagi ini, saya menziarahi kubur beliau di Peramu bersama beberapa orang kawan dari Kuantan.

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 14/12/2020

Surau al-Huda atau Surau Kubur di Peramu. Di belakang surau inilah, jasad Tok Peramu disemadikan.
Inilah wajah Tok Guru Peramu pada 1970-an. Beliau akhirnya mengaku, “Akulah sebenarnya Datuk Bahaman.”
Tok Guru Peramu, meninggal dunia pada 23 Julai 1977.
Pusara Pejuang yang tidak didendang. Pengorbanan Tok Peramu @ Datuk Bahaman dalam mempertahankan maruah bangsa dan tanah sewajarnya dikenang dan diteladani olrh anak bangsa.
- Advertisement -