Tindakan mesti melalui arahan parti masing-masing

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional diyakini dapat bertahan lebih lama jika semua pihak melaksanakan tanggungjawab, bertimbang rasa terhadap kesan baik buruk serta meletakkan keutamaan sewajarnya di hadapan.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS berkata pada sidang media selepas mesyuarat mingguan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

Menurut beliau, asas kepada koalisi politik ketiga-tiga parti iaitu PAS, BERSATU dan BN adalah persetujuan di peringkat tertinggi untuk mengadakan kerjasama yang juga memberi arahan dikehendaki dilaksanakan peringkat lainnya.

- Advertisement -

“Contohnya saya di Kedah, apa-apa tindakan politik yang dikehendaki dilaksanakan oleh saya sebagai ketua kerajaan, tidak boleh terus diarahkan kepada saya, mesti parti-parti memaklum, bincang, buat keputusan di peringkat tertinggi.

“Parti saya yang mengarahkan saya. Saya daripada PAS, yang boleh memberi arahan kepada saya ialah Pejabat Agung PAS atau Presiden PAS, atau Setiausaha Agung PAS. Sama dengan Ketua Menteri atau Menteri Besar daripada BERSATU.

“Apa-apa permintaan daripada PAS tidak boleh direct kepada dia (BERSATU), kena pergi kepada parti dia, melalui Jawatankuasa Tertinggi buat keputusan di peringkat tertinggi, turunkan arahan itu melalui parti dia.

“Itulah disiplin ataupun susunan kerja yang patut kita terima pakai, barulah keadaan jadi aman. Tak boleh direct pergi order, parti lain pergi order parti lain, tak boleh,” katanya mengulas perkembangan hubungan tiga parti itu mutakhir ini.

Menurutnya, keputusan yang dibuat di peringkat parti perlu diturunkan keputusan itu melalui parti di mana dengan cara itu keadaan akan lebih selesa untuk semua orang dan juga akan lebih aman.

“Masalah kita ini terus direct kepada dia, pastu order dia. Jadi mungkin akan berlaku masalah. Jadi kalau parti yang arah, saya rasa mana-mana pemimpin yang mendapat arahan daripada parti, parti dia, dia akan patuh,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/12/2020

- Advertisement -