Kesabaran kunci memperkukuh perpaduan

- Advertisement -

CABARAN terhadap survival Kerajaan Perikatan Nasional yang didukung BERSATU, PAS, BN, GPS dan GRS di Sabah berjaya diatasi setakat ini apabila Belanjawan 2021 telah lulus di peringkat dasar dan kini turut menerima kelulusan mengikut kementerian berperingkat-peringkat.

Walaupun pihak pembangkang memaksa undi belah bahagi bagi meluluskan Belanjawan kementerian-kementerian tertentu, namun segalanya lulus juga setakat ini setelah pihak pembangkang gagal memperolehi majoriti.

- Advertisement -

Musykil juga di mana perginya ‘strong, formidable and convincing majority’ yang kononnya Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dakwa beliau miliki sebelum sidang Belanjawan lalu?

Ternyata kemampuan Kerajaan PN berjaya mengatasi cabaran ini berdasarkan kesepaduan kerjasama antara parti-parti yang mendukungnya. Pembangkang menjangkakan akan ada dari bangku kerajaan yang kononnya akan menyokong mereka sebagaimana yang digembar-gembur tetapi langsung tidak berlaku. 

Politik baru Malaysia hari ini menyaksikan parti-parti yang mendukung kerajaan bebas bersuara melontarkan kritikan dan cadangan demi kebaikan dan manfaat rakyat sehingga peranan pembangkang kadangkala hanya sekadar pengacau dan pencari masalah semata-mata, ini dapat dilihat dalam persidangan Belanjawan kali ini dan cukup menarik.

Adalah dijangka atas kematangan dan kesepaduan semua pihak khususnya yang mendukung Kerajaan Persekutuan, Belanjawan 2021 ini nanti akan diluluskan juga akhirnya dan dapat dilaksanakan menjelang 2021 demi kebaikan dan manfaat rakyat.

Belum selesai isu Belanjawan bangkit pula krisis di Negeri Perak apabila Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dijatuhkan dalam persidangan Dewan Negeri setelah gagal memenangi usul undi percaya terhadap beliau. Usul dibawa dan kemudiannya ditolak oleh wakil-wakil Umno dan pembangkang.

Lalu kosonglah jawatan MB dan EXCO Kerajaan Negeri Perak yang dikuasai PN. Sekali lagi ikatan kerjasama antara parti-parti yang mendukung Kerajaan PN khasnya dari kalangan Umno, PAS dan BERSATU diuji.

Ada yang melihat Umno membuat keputusan menjatuhkan MB tanpa berbincang dengan parti-parti lain. Ada pula menganggap Umno berhak berbuat demikian apabila MB melanggar kepentingan mereka sedangkan Umno mewakili blok terbesar dalam kerajaan. Malah ada pula mendakwa Umno sanggup bersekongkol dengan pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan sendiri.

Yang penting keputusan telah diambil, apa yang di hadapan adalah bagaimana menguruskannya agar ianya dapat diselesaikan dengan cara yang baik tanpa menjejaskan kedudukan kerajaan atau membuka peluang pada pembangkang khasnya PH.

Ketika membentangkan ucapan dasar Presiden sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke-66 di Kota Bharu bulan September lepas yang berjudul ‘Islam Memperkukuh Perpaduan’, Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang telah memetik ayat 46 Surah al-Anfal sebagai mukadimahnya yang bermaksud:

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu saling bantah membantah, jika tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu , dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati), sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” 

Sesungguhnya Allah S.W.T mendidik kita bahawa konsep perpaduan ummah mestilah berdasarkan ketaatan kepada Allah S.W.T dan Rasul-Nya S.A.W iaitu berdasarkan akidah keimanan dan dibuktikan dengan amalan menegakkan Islam yang berdaulat.

Menjalin perpaduan ummah adalah tanggungjawab kita sebagaimana mengelakkan perpecahan dan pergeseran. Umat Islam yang kental dan istiqamah komitmennya akan mampu membina perpaduan dan menaburkan keadilan buat rakyat dan membina negara yang makmur bawah keredhaan Allah S.W.T.

Dalam hal ini PAS yang telah meneroka langkah menjalin kerjasama politik dengan Umno dan BN dan kemudiannya BERSATU dengan melibatkan keseluruhan ahli dan kekuatannya demi mencetuskan pembinaan kesatuan politik umat Melayu Islam dalam negara bertanggungjawab memastikan apa yang telah dibina terus diperkasakan dan tiada ruang untuk ia condong apatah lagi sendeng dan roboh.

Kualiti kesabaran sehingga mengutamakan perundingan, perbincangan dan permuafakatan di saat genting haruslah diutamakan dan menjadi jalan penyelesaian pada setiap saat dan ketika. Saling membantah dan serang menyerang hanya akan menjadikan kita lemah dan akhirnya membuka ruang bagi musuh untuk mengaut keuntungan dan akhirnya merugikan ummah.

PAS juga dalam menatang permuafakatan ini jangan sekali-kali cenderung berpihak ke mana-mana. Kita berkawan dengan semua yang mahu berkawan dengan kita kerana Islam. Elakkan mencuit atau mencederakan perasaan kawan-kawan sebagaimana kita tuntut kawan-kawan juga begitu.

Dalam isu Perak ini, semua pihak perlu kembali ke meja rundingan sebagaimana saranan Timbalan Presiden PAS Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man. Ambillah semangat sebagaimana ditegaskan Naib Presiden PAS Senator Ustaz Idris Ahmad, kerjasama bermakna ada persamaan dan perbezaan lalu utamakanlah titik persamaan yang banyak dan jangan diketengahkan perbezaan.

Kita punya agenda dan tanggungjawab yang besar di hadapan yang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia khasnya umat Islam. Jangan kita mempersiakan doa dan harapan ramai mereka. Hari ini negara dan rakyat berhadapan dengan pandemik COVID-19, keutamaan mereka di sana bukannya melayan karenah orang-orang politik.

Rakyat menantikan penyelesaian yang paling bijak dalam krisis Perak ini, maka terbitlah dengan permuafakatan yang paling tuntas, mengambil kira kepentingan semua pihak dan yang lebih penting kehendak negeri dan rakyat. Biar semua dapat berjalan lancar pada kadar segera.

Tuan Guru Presiden PAS dalam teks ucapan dasarnya turut menyebut:

“Marilah kita bersatu padu dalam gabungan parti politik yang dibentuk sekarang bagi menghadapi PRU15 dengan bersedia untuk menang dan mengisi kemenangan dengan membentuk kerajaan yang lebih kukuh.”

Cita-cita PAS dan kita semua termasuk ahli dan pimpinan BN dan BERSATU begitu murni dan besar.

Kita mahu menempah kemenangan yang lebih besar melalui mandat rakyat. Kita mahu menjadi teraju dengan memelihara kedaulatan agama dan negara dan mengelakkan dari mana-mana pihak Liberal, Cauvinis, ekstrem atau rasis dari menghampiri teraju kuasa.

Lantas segeralah kembali ke meja perundingan, biar penyelesaian di Perak atas semangat perpaduan ummah yang utuh menjadi contoh untuk dijaja demi membawa kemenangan yang lebih besar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 9/12/2020

- Advertisement -