Pintar mengalu-alukan penyelesaian untuk Perak

- Advertisement -

PERTUBUHAN Intelektual Negara (Pintar) mengucapkan syabas kepada pihak-pihak terlibat yang telah dapat menyelesaikan kemelut politik di Perak.

- Advertisement -

Sedari awal lagi isu ini tidak sepatutnya berlaku dalam keadaan negara sedang berdepan dengan pandemik Covid-19 yang telah memberikan kesan seluruh dunia.

Ketika isu undi percaya ini berlaku, beberapa pihak dilihat cuba untuk melakukan penjajaran politik, di mana DAP menyatakan dengan jelas kesediaan untuk bersama dengan Umno.

Namun begitu, permuafakatan yang telah dicapai pada hari ini menunjukkan bahawa walaupun terdapat perbezaan pandangan, namun kesatuan itu lebih penting diutamakan.

Pintar merasakan permohonan maaf daripada Umno terhadap apa yang berlaku pada hari Jumaat lepas telah memberikan impak yang besar dalam memperteguhkan kerajaan PN di Perak.

Ini suatu tindakan yang perlu dicontohi oleh mana-mana pihak yang bersama dalam kolisi di atas kesanggupan untuk menjaga hubungan yang terjalin daripada berpecah, di mana pastinya kesan daripada perpecahan itu boleh membawa kepada keburukan.

Di atas kesediaan PAS, PPBM dan Umno mendokong calon MB yang dikemukakan ini pasti akan mengukuhkan kerjasama untuk masa-masa akan datang.

Dalam masa yang sama, semua pihak terlibat perlu mengambil iktibar di atas perkara ini supaya ia tidak berulang kerana pastinya rakyat tidak mahu melihat kemelut dan drama politik yang tidak berkesudahan.

Sekian, terima kasih.

Prof Dr. Mohd Roslan Mohd Nor
Presiden Pintar. – HARAKAHDAILY 9/12/2020

- Advertisement -