Sultan Perak perkenan Saarani sebagai MB baharu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: ADUN Kota Tampan, Dato’ Saarani Mohamad menerima perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Abd Rahim Mohamad Nor berkata, Baginda menetapkan 11 pagi esok untuk istiadat mengangkat sumpah jawatan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar

- Advertisement -

“Berpandukan Perkara XVI, Fasal 2 (a) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak, pada pertimbangan Baginda, YB Dato’ Saarani Mohamad, ADUN Kota Tampan boleh mendapat kepercayaan sebahagian besar ADUN,” katanya menerusi satu kenyataan yang dibacakan Ahli Dewan Negara Perak, Dato’ Seri Mohd Annuar Zaini hari ini. 

Terdahulu, parti-parti Kerajaan Perikatan Nasional iaitu BERSATU, PAS dan BN bersetuju untuk mencadangkan Shaarani ke jawatan tersebut bagi diperkenankan oleh Sultan Perak dalam kenyataan bersama hari ini.

“Presiden BERSATU, Presiden PAS dan Pengerusi Barisan Nasional disertai sama Setiausaha Agung ketiga-tiga parti pada hari ini telah mengadakan perbincangan mengenai pembentukan Kerajaan Negeri Perak.

“Dalam perbincangan ini, Pengerusi Barisan Nasional telah menyampaikan pernyataan maaf bagi pihak ADUN-ADUN BN Perak di atas kekhilafan yang berlaku.

“Perbincangan hari ini juga telah mencapai kata sepakat mengenai pelantikan-pelantikan lain dalam kerajaan negeri,” ujar kenyataan ditandatangani Setiausaha Agung ketiga-tiga pihak itu

Ketiga-tiga parti turut bersepakat untuk memperkukuhkan lagi kerjasama antara parti dalam Kerajaan Perikatan Nasional di Negeri Perak dan juga di peringkat nasional demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat. – HARAKAHDAILY 9/12/2020

- Advertisement -