Politik bosan: Bila rakyat lihat pemimpin bercakaran

- Advertisement -

SETAKAT ini peratus pengundi Melayu yang mengundi masih rendah berbanding bukan-Melayu. Kesedaran mengenai kepentingan mengundi juga kurang, kenyataan SPR, masih ada 4.2 juta rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas belum daftar sebagai pengundi (Sinar Harian 22 September 2020).

Tahap kesedaran agak berbeza antara Melayu dan bukan-Melayu, peratus akan melahirkan angka, kemenangan dalam sistem demokrasi ditentukan oleh angka tertinggi walaupun dengan kelebihan satu undi. Kumpulan yang sedikit boleh mengalahkan kumpulan yang banyak jika peratus kumpulan sedikit lebih tinggi keluar mengundi berbanding kumpulan yang banyak tetapi peratus keluar mengundinya terlalu rendah.

Analisa PRU14 mendapati banyak kerusi majoriti Melayu kalah tipis disebabkan peratus keluar mengundi Melayu lebih rendah berbanding minoriti, oleh itu pemimpin bukan sahaja perlu berikan kesedaran tapi mesti mewujudkan satu senario yang dapat menyungguhkan dan menggembirakan rakyat untuk keluar mengundi.

- Advertisement -

Rakyat inginkan pembelaan, rakyat inginkan sebuah pemerintahan yang harmoni, rakyat inginkan sebuah kegembiraan bernegara, senario politik bercakaran akan hanya menyebabkan rakyat bosan dengan situasi politik, apakah seorang anak akan tenang di kala ibu bapanya bergaduh? Begitulah rakyat, dengan siapa mereka harapkan untuk memimpin mereka sedangkan tangan yang sepatutnya memimpin mereka sedang menggenggam penumbuk.

Rakyat disalahkan kalau mereka tidak keluar mengundi, tapi rakyat juga ada perasaan, rakyat mengundi kerana impikan sebuah keharmonian bernegara, tetapi apa yang rakyat lihat seolah-olah kertas undi mereka hanyalah sekeping tiket untuk melihat perlawanan gusti. Senario yang sangat membosankan ini akan menyebabkan rakyat tidak pedulikan politik, sangat merbahaya kepada keputusan politik PRU15 nanti.

Rakyat tidak nampak kalau pemimpin bermasalah itu boleh selesaikan masalah rakyat, ‘Macam mana nak selesai masalah rakyat, masalah dia sendiri pun tak selesai’, itu kata rakyat, bosan sungguh la…

YB USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang – HARAKAHDAILY 7/12/2020

- Advertisement -