Kelantan negeri kedua terbesar hasil madu kelulut

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi ketika melawat Galeri Kelulut Min House Camp di Kubang Kerian, Kelantan. Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan muncul negeri kedua penyumbang terbesar pengeluaran madu kelulut di negara ini selepas Sarawak.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, pengeluaran itu melibatkan 24,730 kilogram madu kelulut tahun lepas dengan nilai lebih RM3.5 juta.

Katanya, industri berkenaan merupakan salah satu sumber kekayaan baharu negara yang mampu menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Statistik Jabatan Pertanian menunjukkan sehingga Oktober 2020 sebanyak 145,856 kilogram madu kelulut dihasilkan pengusaha kelulut di seluruh Malaysia dengan nilai melebihi RM21 juta,” katanya selepas melawat Galeri Kelulut Min House Camp di Kubang Kerian, semalam.

- Advertisement -

Turut hadir, Timbalan Pengarah (Pengembangan) Jabatan Pertanian Kelantan, Murniwati Mohamad dan pemilik Min House Camp, Wan Noriah Wan Ramli.

Che Abdullah juga berkata, industri ternakan kelulut di Malaysia sangat berpotensi untuk dijadikan sumber pendapatan bagi meningkatkan ekonomi pengusaha sama ada secara kecil-kecilan atau komersial. – HARAKAHDAILY 30/11/2020

- Advertisement -